Dengan lafaz bismillah ku mulakan bicara ini buat ibu Meriam. Apa khabar ibu. Aku di sini sepi. Mungkin ibu terkejut dengan kehadiran warkah yang tidak pernah ibu impikan selama ini. Yalah… ibu bukan tahu membaca, tapi, aku percaya ada orang tolong bacakan buat ibu. Hari ini adalah hari ibu. Hari untuk wanita yang bergelar ibu. Hari untuk mu ibu dan juga untuk ku. Kita sama-sama bergelar ibu. Ibu… kenangan silam membuat aku terpanggil untuk mengatur bait-bait ungkapan buat mu. Akan ku bariskan sebaik mungkin bahasa seninya agar ia menjadi indah dan menyejukkan hati mu setelah membacanya nanti.Ibu… hembusan bayu pagi dan deruan ombak memukul pantai masih juga dalam ingatanku. Waktu itu, saban minggu aku menemani ibu ke pantai mengutip dedaun dan pelepah kelapa untuk ibu buat atap sebagai mata pencarian sampingan. Bila pulang, aku menjunjung dedaun kelapa yang telah siap ibu ikat dan ibu pula menjunjung pelepah kelapa serta dedaun kelapa. Ah…. Sedihnya aku mengingati saat itu. Betapa pengorbanan mu sebagai seorang isteri, wanita dan sekali gus sebagai seorang ibu untuk membantu kewangan rumahtangga mu. Kini, setelah aku berumah tangga baru aku faham…. Maafkan aku ibu.
Ibu.. engkaulah ratu hati ku. Engkaulah kekasih hatiku. Kini kita terpisah. Ibu dengan corak penghidupan ibu dan aku juga begitu. Kita sama-sama menjadi ibu, kita sama-sama ada tanggungjawab yang harus dipikul. Ibu.. kita terlalu jauh berpisah.. kita juga terlalu lama berpisah, sukar untuk kita bersama lagi mengulangi detik waktu yang telah berlalu. Namun sekali sekala kita bertemu, terubat juga kerinduan dikalbu yang tidak pernah padam antara kita berdua. Ibu… entah apakah bentuk hadiah yang harusku berikan pada mu sebagai tanda kasih dan sayangku pada mu?. Jika aku seorang pelukis, akan ku lukiskan wajah mu bagai bulan purnama, jika aku seorang akitek, akan aku bina sebuah tugu lambang kasihku pada mu, jika aku seorang jutawan, akan ku tempah sebuah pesawat untuk kita terbang bersama di angkasa raya, meredah langit biru dan awan kelabu! Oh ibu….. aku tidak mampu, aku tidak punya apa-apa selain dari hati dan perasaan yang terlalu kerdil ini. Ibu.. kita sudah menghampiri pelabuhan senja… kita sama-sama berada di ufuk itu… kita tak bisa mengulangi zaman zilam yang penuh nostalgia bersama lagi.
Ibu kini menghabiskan sisa-sia hidup bersama ayah.. bersama suka duka sebagai isteri yang dimadukan, bersama tawa dan tangis sebuah penghidupan yang tidak pernah kau pinta sebelumnya. Ibu… ingin ku bisikan ditelinga mu.. andainya malaikat datang menjemput mu, aku mohon pada Allah SWT.... agar aku berada disisi mu ketika ibu melalui saat itu, ingin pangku tubuhmu…. ingin ku genggam erat tangan mu….. menemani mu untuk meninggalkan aku buat selama-lamanya.Ibu.. terima kasih kerana kau telah membesarkan aku. Terima kasih kerana memberi aku peta penghidupan yang beranika warna sebagai bekalan dan pedoman. Ibu, terima kasih kerana kau telah mengajar aku menjadi manusia, Ibu… terima kasih atas resepi yang kau berikan pada ku. Terima kasih … terima kasih ibu. Engkau lah ibuku, engkau lah guruku, engkaulah kawanku dan sekali sekala, engkau jadi lawanku!…. Ha.. ha.. ha.. gelinya hati ku… bila teringat aku di pukul kerana kenakalan ku!
Ibu… andainya kau pergi dulu dari ku, akan ku semaikan pepohon kemboja di pusara mu. Agar pusara mu sentiasa harum mewangi, sewangi kasturi dan semerbak mawar kembang di tangkai.
Ibu… andainya kau pergi dulu dari ku… akan ku hadiahkan Al-fatihah buat mu ibu. Aku akan terus berdoa agar engkau di hadiahkan syurga oleh NYA di akhirat nanti. Aku doakan engkau terlepas dari azab kubur dan azab api neraka. Semoga engkau dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh. InsyaAllah.
Tapi ibu... andainya aku pergi dulu sebelum mu... jangan kau tangisi pemergian ku... jangan kau berduka dengan ketiadaanku... teruskan hidup ibu hingga ke penghujung usia.... Sembah salam dari ku buat ibu... akan ku bawa kasih mu bersemadi bersama jasad ku...
DAN..... ibu pergi dulu sebelumku... ibu telah menghembuskan nafasnya yang akhir di pagi Selasa yang hening tanggal 19 April 2005 bersamaan 10 Rabiulawal 1426. Tinggallah aku bagai hilang tangkai.... tiada lagi bahu tempat aku bersandar bila aku kesepian.... tiada lagi telinga untuk mendengar rintihanku... tiada lagi airmata untuk berkongsi suka dan duka... tiada lagi gelak tawa melihat telatah anak-anakku yang juga cucu-cucunya..... namun, aku bersyukur kerana doaku dimakbulkan Allah SWT, di mana, pada saat-saat perjalanan terakhir ibu ke alam barzah, aku di sisi arwah, menemaninya..... kepala ibu di pangkuanku... aku iring perjalanan ibu dengan doa dan kalimah syahadah di telinga ibu..... SEMOGA IBU DAMAI DI SANA.... AMIN....
