Selasa, 11 Mei 2010

Selamat Hari Ibu

Yesss.... warkah buat ibu masih ku simpan dengan baik walaupun mengambil masa untuk mencarinya..... baru saja jumpa semula dalam 'folder'. Warkah yang ku tulis dari hati nan tulus ikhlas ini adalah untuk ibu sempana Hari Ibu pada tahun 2002. Aku tulis warkah ini pada 12/05/2002. Aku tak pasti samada ibu membacanya atau tidak... Nukilanku berbunyi begini:Dengan lafaz bismillah ku mulakan bicara ini buat ibu Meriam. Apa khabar ibu. Aku di sini sepi. Mungkin ibu terkejut dengan kehadiran warkah yang tidak pernah ibu impikan selama ini. Yalah… ibu bukan tahu membaca, tapi, aku percaya ada orang tolong bacakan buat ibu. Hari ini adalah hari ibu. Hari untuk wanita yang bergelar ibu. Hari untuk mu ibu dan juga untuk ku. Kita sama-sama bergelar ibu. Ibu… kenangan silam membuat aku terpanggil untuk mengatur bait-bait ungkapan buat mu. Akan ku bariskan sebaik mungkin bahasa seninya agar ia menjadi indah dan menyejukkan hati mu setelah membacanya nanti.Ibu… senyum tawa mu masih segar di ingatanku. Walaupun dikau tidak melahirkan aku, namun kehangatan jari jemarimu yang membesarkan aku cukup bermakna buat diri ini. Pengorbanan mu sebagai ibu kepada ku amat ku sanjungi. Aku lah permata hati mu, aku lah penyeri hidup mu. Kau dakap aku, kau timang aku, kau belai aku penuh manja. Aku tahu, selama lima tahun ayah dan ibu menunggu kehadiran seorang bayi untuk memecah kesunyian mahligai kecil mu, tapi apakan daya, segala-galanya di takdirkan ibu dan ayah tidak dapat melahirkan zuriat dari darah daging sendiri. Ibu… masihku ingat tatkala kita mandi di pinggir kali… berenang di tepiannya… masih ku ingat kita mandi bersama ayah di perigi, di bawah sinaran bulan mengambang, seronoknya masa itu bukan?… ibu dan ayah menjirusku, sabunkan badanku. Aduhaiiii… manjanya aku! Aku juga ingat kenakalan ku malas mandi… sampai merajuk dan hilangkan anting-anting… maafkan aku ibu, maafkan aku kerana nakal.Ibu.. masih ku ingat … ibu menyuruh aku menjual taugeh…. Aku menjunjung dulang yang berisi taugeh yang telah kau tompok-tompokkan. Aku tidak menjualnya, aku menyembunyikan diri ku di belakang pagar. Aku malu ibu.. aku malu untuk menjual dari rumah ke rumah, isyyyy, nakalnya aku…. Maafkan aku ibu kerana menipu mu.
Ibu… hembusan bayu pagi dan deruan ombak memukul pantai masih juga dalam ingatanku. Waktu itu, saban minggu aku menemani ibu ke pantai mengutip dedaun dan pelepah kelapa untuk ibu buat atap sebagai mata pencarian sampingan. Bila pulang, aku menjunjung dedaun kelapa yang telah siap ibu ikat dan ibu pula menjunjung pelepah kelapa serta dedaun kelapa. Ah…. Sedihnya aku mengingati saat itu. Betapa pengorbanan mu sebagai seorang isteri, wanita dan sekali gus sebagai seorang ibu untuk membantu kewangan rumahtangga mu. Kini, setelah aku berumah tangga baru aku faham…. Maafkan aku ibu.Ibu.. engkaulah ratu hati ku. Engkaulah kekasih hatiku. Kini kita terpisah. Ibu dengan corak penghidupan ibu dan aku juga begitu. Kita sama-sama menjadi ibu, kita sama-sama ada tanggungjawab yang harus dipikul. Ibu.. kita terlalu jauh berpisah.. kita juga terlalu lama berpisah, sukar untuk kita bersama lagi mengulangi detik waktu yang telah berlalu. Namun sekali sekala kita bertemu, terubat juga kerinduan dikalbu yang tidak pernah padam antara kita berdua. Ibu… entah apakah bentuk hadiah yang harusku berikan pada mu sebagai tanda kasih dan sayangku pada mu?. Jika aku seorang pelukis, akan ku lukiskan wajah mu bagai bulan purnama, jika aku seorang akitek, akan aku bina sebuah tugu lambang kasihku pada mu, jika aku seorang jutawan, akan ku tempah sebuah pesawat untuk kita terbang bersama di angkasa raya, meredah langit biru dan awan kelabu! Oh ibu….. aku tidak mampu, aku tidak punya apa-apa selain dari hati dan perasaan yang terlalu kerdil ini. Ibu.. kita sudah menghampiri pelabuhan senja… kita sama-sama berada di ufuk itu… kita tak bisa mengulangi zaman zilam yang penuh nostalgia bersama lagi. Ibu kini menghabiskan sisa-sia hidup bersama ayah.. bersama suka duka sebagai isteri yang dimadukan, bersama tawa dan tangis sebuah penghidupan yang tidak pernah kau pinta sebelumnya. Ibu… ingin ku bisikan ditelinga mu.. andainya malaikat datang menjemput mu, aku mohon pada Allah SWT.... agar aku berada disisi mu ketika ibu melalui saat itu, ingin pangku tubuhmu…. ingin ku genggam erat tangan mu….. menemani mu untuk meninggalkan aku buat selama-lamanya.
Ibu.. terima kasih kerana kau telah membesarkan aku. Terima kasih kerana memberi aku peta penghidupan yang beranika warna sebagai bekalan dan pedoman. Ibu, terima kasih kerana kau telah mengajar aku menjadi manusia, Ibu… terima kasih atas resepi yang kau berikan pada ku. Terima kasih … terima kasih ibu. Engkau lah ibuku, engkau lah guruku, engkaulah kawanku dan sekali sekala, engkau jadi lawanku!…. Ha.. ha.. ha.. gelinya hati ku… bila teringat aku di pukul kerana kenakalan ku!Ibu, ingin ku hulurkan jari sepuluh memohon keampunan di atas segala dosa-dosa semalam. Dosa-dosa silam ku terhadapmu. Ampuni aku ibu.. ampuni aku kerana terkadang aku telah mengalirkan air mata mu hingga tumpah ke bumi. Terkadang aku membuat hati ibu kerinduan.... kekadang... aku menguris hati ibu... Ampuni aku ibu. Inginku katakan diwarkah nih bahawa... kasih dan sayang mu adalah tulus ikhlas, suci murni... bab embun menitis dini hari... yang tiada bandingnya, tiada batas sempadan apatah lagi tiada dendam terhadap diriku... I love u mum....

Ibu… andainya kau pergi dulu dari ku, akan ku semaikan pepohon kemboja di pusara mu. Agar pusara mu sentiasa harum mewangi, sewangi kasturi dan semerbak mawar kembang di tangkai.
Ibu… andainya kau pergi dulu dari ku… akan ku hadiahkan Al-fatihah buat mu ibu. Aku akan terus berdoa agar engkau di hadiahkan syurga oleh NYA di akhirat nanti. Aku doakan engkau terlepas dari azab kubur dan azab api neraka. Semoga engkau dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh. InsyaAllah.

Tapi ibu... andainya aku pergi dulu sebelum mu... jangan kau tangisi pemergian ku... jangan kau berduka dengan ketiadaanku... teruskan hidup ibu hingga ke penghujung usia.... Sembah salam dari ku buat ibu... akan ku bawa kasih mu bersemadi bersama jasad ku...DAN..... ibu pergi dulu sebelumku... ibu telah menghembuskan nafasnya yang akhir di pagi Selasa yang hening tanggal 19 April 2005 bersamaan 10 Rabiulawal 1426. Tinggallah aku bagai hilang tangkai.... tiada lagi bahu tempat aku bersandar bila aku kesepian.... tiada lagi telinga untuk mendengar rintihanku... tiada lagi airmata untuk berkongsi suka dan duka... tiada lagi gelak tawa melihat telatah anak-anakku yang juga cucu-cucunya..... namun, aku bersyukur kerana doaku dimakbulkan Allah SWT, di mana, pada saat-saat perjalanan terakhir ibu ke alam barzah, aku di sisi arwah, menemaninya..... kepala ibu di pangkuanku... aku iring perjalanan ibu dengan doa dan kalimah syahadah di telinga ibu..... SEMOGA IBU DAMAI DI SANA.... AMIN....