Khamis, 20 Ogos 2009

Kau selalu di hatiku

Cemasnya..... hampir pukul 5 petang (20 Ogos 2009) aku mendapat panggilan telefon dari anak bongsuku Aizat mengatakan dia disyaki dijangkiti H1N1. Penyakit paling menakutkan lewat kebelakangan ini. Seluruh dunia telah diserang virus H1N1, virus yang bisa membunuh tanpa mengenal mangsa. Ya Allahhhh... ampunilah dosaku, selamatkanlah anakku, jauhilah dia dari segala musibah. Aku kerap menelefonnya untuk mengetahui perkembangannya dari semasa ke semasa sementara suamiku tiba untuk menjemputnya, kira-kira 2 jam perjalanan dari rumah kami ke kolejnya di Lendu, Melaka.

Aku mencadangkan pada anakku supaya terus ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut. Gelisah membelenggu diriku yang amat sangat. Aku 'packing' apa yang patut untuk bekalan ke hospital sekiranya anakku dimasukkan ke wad. Alhamdullilah, sekitar pukul 12.30 pagi, doktor yang merawatnya mengesahkan beliau hanya demam biasa.

Setelah menelan beberapa biji ubat di samping sebiji epal hijau dan 3 ulas kurma, anakku terus terbaring lena. Suhu badann mencecah 39C. Aku mengambil beberapa helai tuala dan ketulan air batu lalu mengelapkan ke badannya bagi mempercepatkan penurunan suhu badannya. Aku rawatinya dengan hati yang penuh kasih, kutatap wajahnya penuh sayang. Dalam hatiku berdoa agar anakku bebas dari H1N1. Penyakit yang boleh membunuh!Kesunyian malam mengingatkan aku saat-saat bersama ibu (angkat) yang telah membesarkan aku sejak dari lahir, bila aku sakit, ibu sentiasa di sisiku, memicit kepalaku..... pupuk-pupukkan air yang dicampur dengan dedaun cekur dikepalaku... sekali sekala membelai rambutku penuh kasih. Sebagai suri rumah, walau sesibuk mana sekalipun, tatkala ada di antara anak-anak yang mereka bela seramai 3 orang jatuh sakit, ibu akan merawat kami bersama ayah (angkat), sanggup tak tidur malam demi memastikan kami lekas sembuh. Bawa jumpa doktor dan ada kalanya panggil pak dukun ke rumah.

Kenangan dirawat oleh pak dukun sekitar tahun 60an kadangkala melucukan dan terkadang menghairankan. Bila demam, dikatanya kena sampuk dekat pokok itu, bila sakit mata sampai bengkak, dikatanya kena sampuk dekat paya itu. Bila diingat kembali aku tersenyum sendirian kerana setiap rawatan pasti disertai dengan 'air pinang'. Alaaa... macam citer P. Ramlee kat TV tu....

Ibu tak jemu-jemu bertanya padaku makanan apa yang aku inginkan. Begitu juga dengan ayah, setiap pagi, sebelum pergi kerja, ayah akan bertanya sama ada aku nak makan buah epal atau anggur.. hmmmm.... itulah buah paling 'exclusive' ketika itu. Epal dan anggur merupakan buah tangan untuk pesakit sama ada di rumah atau di hospital. Kalau tak sakit, setahunlah tak jumpa epal dan anggur.... geli gak hati ni apabila teringat kenangan tu, tapi sekarang ni tak kira waktu dan keadaan, boleh jumpa epal dan anggur di mana-mana pasaraya mahu pun di pasar malam.

Aku masih merawat anakku sambil mengetuk 'key board'. Ingatan bersama ibu datang lagi... kenangan disaat-saat akhir bersamanya. Dari hospital Daerah Dungun, ibu terus dibawa ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Aku, Nurul dan Izyan mengambil penerbangan pada pukul 7.30 petang itu juga. Kami bertemu ibu di wad kecemasan sekitar pukul 9.30 malam. Aku dimaklumkan oleh saudara mara bahawa ibu sentiasa menyebut-nyebut namaku. Ibu seolah-olah tak sabar menunggu kehadiranku. Oh... rindunya ibu padaku.... kesian ibu.... dipendam saja rindunya itu terhadapku.Percikan peluh membasahi tubuh ibu terutamanya di dahi. Tanganku tak henti-henti mengelap sambil mengipasnya. Sesekali ibu minta suapkan air. Ibu pula asyik bercerita, lepas satu tajuk ke satu tajuk. Aku terlelap sambil mengelap badannya. Ibu menyuruh aku tidur di sisinya dengan mencantumkan dua buah kerusi di tepi katil. Aduhhh... mengantuknya.... apa lagi, nyanyaklah seketika... aku di kejutkan oleh ibu, katanya dia terbuang air besar, dan minta dicebuk. Tubuh ibu terlalu berat untuk aku angkat. Aku hanya cuci dan tidak menyalinkan lampin pakai buang kerana 'buangannya' hanya sebesar biji sagu saja. Ibu bercerita lagi, jam hampir pukul 6.30 pagi, dia menyuruh anakku Nurul mandi sementara bilik air masih banyak kosong. Sesaatpun ibu tak tidur pada malam itu. Kemudian, ibu memberitahu aku yang ibu nak tidur dan dia minta jangan diganggu atau kejutkan dia.
Sekitar pukul 6.50 pagi, aku tersentak. 'Botol drip' sudah tidak lagi mengalirkan air, aku memperbetulkannya. Mujur aku juga punya pengalaman dalam 'nursing', saat mengikuti kursus Jururawat Pelatih di Hospital Kelang dalam tahun 1981. Seketika aku mula dirundung cemas... amat cemas! Dari pengalamanku, itu adalah petanda buruk! Dalam debaran yang tiada keruan aku terus meluru ke arah doktor serta jururawat lantas memaklumkan tentang keadaan ibu. Doktor dan jururawat terus bertungkus lumus untuk menyelamatkan nyawa ibu. Lima minit kemudian, dengan nada tenang jururawat memberitahu aku bahawa ibu sedang dalam 'perjalanan' dan meminta aku 'membantunya mengucap' . Sambil menangis tersedu-sedu, aku mengucap dua kalimah syahadah di telinga ibu berulang-ulang. Aku dah tak peduli orang sekeliling dan tanpa aku sedari perasaanku mula hilang kawalan. Tangisanku menderu-deru umpama hujan dan guruh yang berdentum hebat. Aku sedih! aku terkilan! aku rasa bersalah! tak puas rasanya menjaganya ketika sakit, hanya satu malam aku sempat bersamanya. Sedari dahulu ibu sememangnya menghidap darah tinggi, lemah jantung dan kencing manis hampir 12 tahun. Ibu mula tenat sejak dua minggu namun aku tak pulang pada masa tu, terlalu banyak tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Anak-anak bersekolah. Aku bercadang untuk pulang semasa cuti sekolah yang hanya tinggal 2 minggu saja lagi. Berdosanya aku pada ibu... aku hanya menelefon ibu setiap hari, berbual sambil bergurau senda, cuma sehari dua sebelum ibu meninggal, ibu dah tak ada 'mood' untuk bergurau senda, bercakap pun sebiji-sebiji. Aku memang rapat dengan ibu. Kami sama-sama berkongsi suka dan duka. Apakan daya, bila sudah sampai ajal, tak mampu ditangguhkan walau sesaat pun.
Aku menangis umpama anak kecil di pangkuan ibu, aku teringat doaku semasa di tanah suci. Aku mohon dari Allah SWT, biarlah ibu menghembuskan nafas terakhirnya di pangkuanku. Aku dakap ibu. Aku peluk erat. Kepala ibu di atas lengan kiriku. Ruzi (adik bongsu) juga menangi teresak-esak. Anak sulung ku (Nurul) dapat mengawal perasaan, hanya menangis dalam diam, air matanya bercucuran. Ibuku merupakan nenek kesayangannya. Nurul pernah dibesarkan oleh ibu sejak berumur 70 hari sehingga umur 11 tahun.

Jururawat mengesahkan ibu sudah 'tak ada'. Ya Allah... lemah longlai seluruh badanku. Alam sekelilingku sunyi! sesunyi-sunyinya. Pada pagi yang hening, bersama hembusan angin laut China Selatan, bersama deruan ombak yang mendayu-dayu menghempas pantai, ibu pergi menyahut panggilan Ilahi... dengan linangan airmata, perlahan-lahan ku tarik selimut di hujung kaki ibu, menutup tubuhnya yang terbujur kaku.... ibu telah pergi buat selama-lamanya.
Kini aku kehilangan orang yang paling rapat dalam hidupku. Kaulah ibu, kaulah kawan buat diriku. Tempatku mencurah segala suka duka... teman untuk bergurau senda. Kasih ibu (walaupun ibu angkat) terlalu tulus ikhlas, tak bisa ku temui kasih sebegitu lagi... tak mungkin. Kini, setiap hari aku rindu pada ibu, rindu pada keenakan ketupat sotong masakan ibu, ketupat daun palas dan ikan percik.... enaknya masakan ibu!, deria rasaku masih tergiang-giang akan air tangan ibu. Sukar ku padamkan ingatan ini pada ibu, setiap hari pasti wajah manis ibu bermain di mata. Saat-saat bersamanya. Sungguh indah dan manis! terlalu banyak kenangan yang pasti aku bawa hingga ke akhir hayatku.
Ibu... selagi kemboja putih mekar mewangi di pusara mu, selagi itulah kasih sayang dan rinduku padamu tak akan padam. Ibu... engkau selalu datang dalam mimpiku.... ohhh.... begitu mendalamnya rinduku padamu. Keikhlasan ibu dan ayah membesarkan kami sebagai anak angkat amat ku hargai dan menyanjung tinggi, setinggi langit ketujuh.

Ya Allah Ya Tuhanku, Kau cucurilah rahmat dan tempatkan Ibu, Meriam binti Saman di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kau ampunilah dosa-dosanya. Kau berikanlah syurga buatnya. Semoga ibu aman di sana. Amin.

Jumaat, 14 Ogos 2009

Wedding of the year

Exclusive ! kenangan bersama Menteri Besar Kelantan. Tiada hamparan permaidani merah, tiada meja VVIP, tiada pengiring, hanya datang bersama dengan pemandu beliau ke majlis perkahwinan salah seorang rakyat negeri kelantan. Itulah insan bernama Tok Guru Nik Aziz.
Suap menyuap, menambahkan lagi kemeriahan majlis. Wahhhh.... romantiknya, jangan tergigit jari dah ler...
Pok Yi dan Linda (Kota Bharu)
Majlis perkahwinan salah seorang rakan sepejabat, berlangsung pada 14 Mac 2009 di Kota Bharu Kelantan. Cinta tak mengenal usia... jodoh pertemuan adalah kerja Allah SWT. Doa kami semuga Pok Yi and Linda kekal hingga ke akhir hayat dan di kelilingan dengan anak-anak yang comel, berilmu dan beriman.
Kemeriahan majlis perkahwinan Faridah pada 7hb. Mac 2009 di Alor Setar Kedah. Amboiiiiii..... bergurau senda nampak....
Faridah dan Najmi (Alor Setar)


Jalan seiring, langkah bersama, bagai pinang di belah dua. Perarakan pengantin di majlis perkahwinan Wati and Fauzan. Cinta tak mengenal siapa, cinta antara dua negara, Alor Setar dan Jogjakarta, Selat Melaka menyimpan segala rasa cinta antara mereka berdua.
Watie dan Fauzan (Seri Kembangan)
Majlis akad nikah di sebuah Masjid, di kelilingi saudara mara.
Perkahwinan Nizam, kawan satu Jabatan, berlangsung di Kelang Selangor. Cinta adam dan hawa.... bertemu di alam maya.... semuga jodoh kekal ke hujung nyawa.
Nizam (Kelang)
Di Majlis perkahwinan Sha di Muar Johor. Sempat bergambar kenangan dengan pengantin lelaki. Kami pulang sebelum majlis bersanding.

Saharuddin (Batu Pahat)

Majlis perkahwinan Nor Ayshah Alia di Seremban Negeri Sembilan. Tak sempat nak bergambar dengan pengantin.
Perkahwinan Illani di Machang Kelantan. Manisnya senyuman Mek Kelante tu, almaklumlah, duduk bersanding sebelah Pak Kelante plak tu.

Illani dan Zul (Kota Bharu)


Meraikan majlis potong kek untuk Theeba. Majlis perkahwinan beliau berlangsung di Ipoh Perak.

Theeba dan Jayan (Residence Hotel @UNITEN)

Khamis, 13 Ogos 2009

Kembara ilmu yang tiada penghujung

Tahniah Nurul. 11 Ogos 2009 (Selasa), Majlis konvokesyen Nurul. Berjaya menamatkan pengajian Master Sains. Walaupun hujan turun dengan lebat sekitar pukul 4 petang, namun kegembiraan jelas terpancar di setiap wajah ahli keluarga kerana meraikan kejayaan para graduan yang merupakan anak, atau isteri, atau adik beradik ataupun cucu. Masing-masing dengan jambangan bunga di pelukan. Beraneka warna bunga, rose adalah pilihan ramai!. Aku memilih rose kuning air, lambang ikatan kasih seorang ibu pada anak yang tulus dan abadi. Wishing you all the best on your Ph.D my sweet girl.



Tahniah to you Amir. Ahad 16 Ogos 2009 adalah Majlis konvokesyen Amir. Rasanya, aku adalah salah seorang ibu dalam sejuta ibu-ibu di dunia ini yang bertuah. Minggu ini saja, 3 majlis konvokesyen aku hadiri, demi meraikan kejayaan anak-anakku. Tiada kata yang dapat ku paparkan di sini, hanya bersyukur pada Yang Maha Esa di atas limpah kurnia rezki dari Nya. Gambar-gambar memaparkan kegembiraan para graduan yang telah berjaya mendapat Ijazah dalam jurusan masing-masing setelah mengharungi suka duka dan susah payah demi masa depan..... Wishing you all the best on your Master my dear.



Majlis konvokesyen Izyan. Berkat ketabahan, kesabaran serta doa dari semua, 15 Ogos 2009 (Sabtu) memahat sejarah untuk Izyan dan graduan lain meraikan kejayaan mereka. Wajah-wajah 'Satu Malaysia' menceritakan kegembiraan dan permulaan sebuah kehidupan... Tahniah Izyan! Tak bercita-cita nak sambung Master ker....
Finally... 'Aizat can do it...' Alhamdulillah, syukur atas kurnia NYA pada hamba hamba MU.