Sabtu, 18 Julai 2009

Impian tak kesampaian....


-->Perantauan ku bermula Julai 1981 kerana mengikuti kursus Penolong Jururawat Pelatih di Hospital Besar Kelang (nama Hospital berkenaan pada masa itu). Walau bagaimanapun, aku berhenti mengikuti kursus tersebut pada akhir Julai 1982 kerana tawaran pekerjaan di sebuah Jabatan separuh kerajaan walaupun aku telah lulus peperiksaan untuk setahun pengajian.
Semasa mengikuti kursus tersebut, rakan sebilik ku semuanya berasal dari Kelantan iaitu Azizah Ariffin (Selising), Maimun Mohamad (Bachok) dan Che Zainun. Azizah Ariffin dan Ang Chai Eng merupakan teman paling rapat.Kumpulan kami yang terdiri dari 20 orang. Rozma berhenti hanya 6 minggu kursus sahaja dan sekarang sedang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur, Dip Kaur dengar cerita dah pun di naikkan pangkat sebagai Matron di Hospital Besar KL, Rozaini, Wan Rohaya, Siti Mariam (best student kumpulan kami), Siti Fatimah Mohd. Nor, Nurulaini (mungkin masih di Paris kerana mengikuti suami bertugas di sana), Hasnah, Siti Fatimah Daud, Noralani, Hamizan, Zaharah, Che Som, Norhayati dan Rohaya. Di manakah dikau semua berada wahai kekawanku?... maafkan daku kerana tak dapat menghubungi kalian. Semoga suatu hari nanti kita akan bertemu semula. Hingga saat ini, belum ada jawapan kenapa aku berhenti separuh jalan mengikuti kursus Penolong Jururawat Pelatih. Masihku ingat, sewaktu di bangku sekolah rendah dah menyimpan cita-cita untuk menjadi Jururawat..... tapi... entahlah, mungkin rezeki tiada di situ. Selama 17 bulan aku terpaksa melalui saat sukar kerana membuat bayaran balik ke Kementerian Kesihatan di atas biasiswa yang telah aku gunakan sebanyak RM1,467.00 secara potongan gaji bulanan sebanyak RM100.00 sebulan. Gaji ku waktu tu tersangatlah rendah. Perit jugalah....
Pengalaman semasa berkursus dan bertugas di Wad Lelaki, Perempuan, Kanak-kanak dan juga Wad Bersalin sangat menyeronokkan. Paling berharga sewaktu bertugas di 'Labour Room'. Aku dapat menyaksi sendiri beberapa kelahiran. Oh, sungguh menakjupkan! pertama kali menyaksi kelahiran, aku terpaku, mataku terkebil-kebil, membisu seribu bahasa. MasyaAllah.... Maha Kuasa dan Maha Agong Allah SWT yang mencipta langit dan bumi, yang menjadikan manusia dari segumpal darah, setiap saat ada kelahiran baru, dan pastinya... ada saat ada kematian diantara kelahiran itu....Kenangan manis yang masih tersimpan, tentang telatah beberapa orang pesakit. Seorang darinya yang di kenali dengan panggilan 'Wak' berasal dari Banting Selangor. Beliau bawa buah-buahan seperti durian, manggis dan rambutan untukku. Seorang lagi pesakit lelaki yang berasal dari Simpang Empat Perak bawa satu beg galas, penuh dengan mangga.

Seorang lelaki tua berketurunan india dan buta, sangat mencuit hati ku. Setiap pagi aku mandi dan menyuapkan beliau makan. Seminggu jugalah aku menjalankan rutin tersebut. Satu hari, doktor yang bertugas telah memutuskan dia boleh keluar dari wad dan pulang. Dia minta simpati, dia tak mahu pulang. Aku memujuknya semampu boleh, dia berkeras tak mahu pulang dan sanggup tidur di bawah katil di hospital tersebut. Aku tak tahu kesudahannya. Keesokan harinya beliau sudah tak ada di katil wad.Hati dan perasaan wanitaku tersentuh oleh seorang banduan lelaki cina. Kesalahannya ialah 'dadah'. Dia di tempatkan di penjara Pulau Jerjak. Aku bertugas sebelah malam pada hari terakhir sebelum dia di keluarkan dari hospital tersebut. Setiap pukul 10.00 malam, kami ditugaskan memasang kelambu di katil yang ada pesakit. Bila tiba di katilnya, beliau memberitahu yang dia ingin mencari aku setelah dia dikeluarkan dari penjara suatu hari nanti. Dengan suara yang perlahan dan merdu, dia yanyikan lagu 'when i need u.... i close my eyes ....' hiba juga hatiku, dan hanya mengiakan hajatnya itu walaupun hingga ke hari ini aku tidak tahu akan nasibnya.Terlalu banyak kenangan walaupun hanya seketika sahaja aku mengikuti kursus berkenaan. Thanks to Pn. Zainab (Pengetua), juga pensyarah kami iaitu Staff Nurse Noraini dan Staff Nurse Rohaya. Ilmu yang dicurah masih digunakan sehingga ke hari ini. Aku juga masih mencari-cari di mana kalian berada, sihatkah kalian? Doaku, semoga kalian bahagia dan sihat sejahtera di samping keluarga tersayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan