Aidilfitri 2009 merupakan tahun berhari raya di Kampungku, Dungun Terengganu. Selepas solat Aidilfitri di surau berhampiran, kami ke rumah terbuka Pegawai Daerah Dungun di atas jemputan isteri beliau yang merupakan kawan satu sekolahku di SMSO.Sekitar pukul 1.30 petang kami bertolak ke Kuala Terengganu untuk berhari raya dengan ibu kandungku serta adik beradik (adik beradik satu ibu tetapi berlainan bapa). Malam baru kami pulang ke 'Teratak Mek Chah'. Kemeriahan malam raya sangat terasa setelah beberapa tahun tidak melalui saat kemeriahan sebegitu. Di halaman rumah riuh rendah anak-anak ku bersama dengan anak saudara bermain bunga api dan mercun. Sesekali terasa bingit dengan dentuman mercun. Entah di mana Ruzi (adik lelakiku) beli mercun yang membingitkan keheningan malam.Pada hari raya kedua aku mengadakan majlis 'rumah terbuka' dengan menjemput saudara mara yang terdekat, jiran dan sahabat lamaku. Majlis bermula pada pukul 10 pagi sehingga pukul 5 petang. Seronok dapat bertemu dengan mereka.Hari itu amat membahagiakan hati dan perasaanku. Maklumlah setelah 2 ke 4 tahun tidak bertemu dengan saudara mara, atau pun sahabat lama, pada hari itu kami bertemu lagi dalam suasana yang 'simple' tetapi meriah. Nasi minyak berlauk ayam masak merah dan gulai daging ku tempah dari rakan lama yang satu sekolah denganku. Enak masakannya. Tapai dan ketupat pulut daun palas ku tempah dengan sepupuku yang tinggal di Pinang Merah, Kampung Nyior. Ketupatnya boleh dipuji kerana cukup santan dan melemakkan.
Adakalanya hatiku terharu kerana mendapat tahu sesetengah saudara maraku telah pergi buat selama-lamanya. Al-fatihah buat mereka.
Pada raya ketiga, aku dan famili ke Teluk Bidara. Kami mandi di pantai. Ombaknya tenang bagaikan gembira menyambut kehadiran kami. Suatu masa dahulu, aku pernah bermain ombak di pantai ini, parut masih terpahat di kaki kananku akhibat mandi laut dan hampir lemas. Nasib baik ombak menolak aku walaupun aku dihantuk pada batu-batu yang indah memagari pinggir pantai. Waktu itu, aku lihat kawanku Salmah terjun dan timbul dengan baik, apa lagi, aku pun terjunlah juga, malangnya, aku tak tahu berenang, dua ke tiga teguk jugalah aku telan air masin.Adik iparku pula sibuk memancing, dapatlah dua ke tiga ekor ikan sebesar dua jari. Semuanya hanya untuk suka-suka dan dilepaskan semula. Aku tergelak dengan gelagat anak bongsuku Aizat, mandi pantai dengan berkain batik persis seorang nelayan... dan mengingatkan aku kepada nelayan di sebelah Terengganu suka berkain batik.Pada raya keempat kami berangkat pulang ke Seri Kembangan Selangor. Di situlah rumah kami, di situlah anak-anak kami membesar, dan di situlah tempat kami mencari rezeki untuk teruskan hidup selagi hayat dikandung badan.
Perjalanan pulang sangat lancar. Aizat memandu dari Dungun hingga ke Seri Kembangan. Walau bagaimanapun, aku tidak dapat melelapkan mata memandangkan kelajuan yang sekali sekala melepasi had laju, mulutku tak habis-habis mengomel serta mengingatkan Aizat supaya memandu mengikut had laju yang ditetapkan. Darah muda katanya. Tetapi, harus diingat, semuda mana darah, sedikit kesilapan akan bermandi darah! harus berhati-hati dan memandu secara berhemah, punya sikap sabar di jalan raya!Gumpalan awan di kaki langit (gambar di atas tu telah dirakam oleh anakku Izyan semasa perjalanan kami) mula mengambil tempat untuk melabuhkan tirai malam. Apakah aku akan bersama aidilfitri lagi di tahun-tahun mendatang... entahlah... Allah SWT saja yang tahu segala-galanya. Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah sekitar pukul 8.30 malam. Semoga kami dapat bersama lagi di raya akan datang. InsyaAllah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan