Isnin, 28 Jun 2010

Pertemuan selepas 26 tahun

Minggu lepas, 18hb Jun aku dikunjungi oleh teman yang sama-sama mengikut kursus Kejururawatan di Sekolah Jururawat, Hospital Besar Kelang (1981). Ang Chai Eng namanya. Beliau datang ke rumah ku bersama-sama suami, anak, menantu dan cucunya. Keluar saja dari pintu kereta, kami sama-sama meluru dan berpelukan antara satu sama lain. Sama-sama menitis air mata rindu... rindu yang amat sangat. Hampir 2 jam kami bertukar-tukar cerita sepanjang 26 tahun tak jumpa.Aku dan seorang kawan berlepas ke Kota Bharu dengan pesawat awal pagi dan menginap di Seri Merdeka Motel, Lundang Kota Bharu. Pada petang 19hb. Jun pula, Maimun Mohamad melapangkan masa bersama-sama suami beliau datang ke penginapan sewa ku. Sekali lagi aku berkongsi airmata kegembiraan dengan Maimun. Beliau teman sebilik dengan ku waktu itu. Sifat matang dan sopan santunnya masih kekal hingga ke hari ini. Cuma bentuk fizikalnya banyak berubah selepas beliau menjalani pembedahan. Beliau membawa aku ke Warung Nasi Kerabu Golok. Aku di jamu dengan nasi kerabu berlauk ayam dan daging bakar berempah. Berseleranya aku... licinnnnnn..... di penghujung pertemuan pada senja itu, beliau menghadiahkan aku sehelai tudung berwarna biru... cantik....Keesokannya giliran Azizah Ariffin pula menemuai aku. Beliau merupakan 'my best friend'. Teman sebilik dengan ku. Beliau dan Ang Chai Eng banyak menemani aku bila aku nak keluar 'dating'. Hahahaha...... (baru belajar datinglah... tapi siap berteman). Kami juga selalu bersama-sama semasa 'outing' sekiranya masa 'off duty' jatuh pada tarikh dan waktu yang sama.
MasyaAllah... aku dan Azizah berlari ke arah masing-masing dan berpelukan. Lama pelukan kami. Saat berpelukan itu, aku menangis teresak-esak, gitu juga Azizah. Rindu! sungguh rindu. Mana tidaknya, keakraban kami sewaktu berkursus dahulu sangat baik, tidur sebantal, makan sepinggan, waktu makan, sama-sama berkongsi jari dalam satu mangkok budu, termasuklah Ang Chai Eng.

Hampir 2 jam kami bersembang dan bercerita perjalanan hidup masing-masing (cuma sebahagian kecil sahaja, masa sangat terhad). Hampir pukul 12 tengahari kami ke Bandar Kota Bharu untuk 'shopping' di Pasar Siti Khatijah. Hanya setakat membeli keropok kering. Kemudian kami menjamu selera (makan tengahari) di Kedai makan Cikgu. Istimewanya kedai makan ini ialah, lauk pauknya ringkas tetapi sangat menyelera. Beranika ulam (mentah, dicelur), budu, belacan, ikan bakar, ikan keli goreng, masak lemak putih sayur, ikan singgang, ayam goreng..... dan banyak lagi. Cukup menyelerakan! aku, Azizah dan kak Aini siap bertambah nasi dan budu!. Selesai makan, Azizah dan suaminya menghantar kami pulang semula ke penginapan.Pada sebelah malam, lebih kurang hampir jam 10 malam, seorang lagi teman lama datang bertemu dengan ku. Siti Fatimah namanya. Siti Fatimah tak banyak berubah, masih cantik dan bertambah anggun. Beliau memang suka 'mencantikkan' diri sejak dari kursus lagi. Bezanya sekarang ialah, ada kedut-kedut kedewasaan menenggek pada setiap gerak senyum. (Sayangnya, aku terlupa untuk bergambar dengan Siti Fatimah).

Memang satu kepuasan kerana dapat bertemu 4 orang kawan lama dari 19 orang. Tapi, dalam kegembiraan itu, terselit berita sedih dengan kembalinya ke Rahmatullah, kawan kami bernama Siti Fatimah Mohd Nor (kerana penyakit Barah). Alfatihah buat beliau. Semoga beliau ditempatkan dalam gulungan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Semoga kami dapat bertemu lagi selepas pertemuan ini. Mudah-mudahan dapat bertemu dengan kekawan yang lain. Ingin ku panjatkan kesyukuran dengan keizinan NYA kami bertemu walau pun selepas 26 tahun lebih.

Selasa, 11 Mei 2010

Selamat Hari Ibu

Yesss.... warkah buat ibu masih ku simpan dengan baik walaupun mengambil masa untuk mencarinya..... baru saja jumpa semula dalam 'folder'. Warkah yang ku tulis dari hati nan tulus ikhlas ini adalah untuk ibu sempana Hari Ibu pada tahun 2002. Aku tulis warkah ini pada 12/05/2002. Aku tak pasti samada ibu membacanya atau tidak... Nukilanku berbunyi begini:Dengan lafaz bismillah ku mulakan bicara ini buat ibu Meriam. Apa khabar ibu. Aku di sini sepi. Mungkin ibu terkejut dengan kehadiran warkah yang tidak pernah ibu impikan selama ini. Yalah… ibu bukan tahu membaca, tapi, aku percaya ada orang tolong bacakan buat ibu. Hari ini adalah hari ibu. Hari untuk wanita yang bergelar ibu. Hari untuk mu ibu dan juga untuk ku. Kita sama-sama bergelar ibu. Ibu… kenangan silam membuat aku terpanggil untuk mengatur bait-bait ungkapan buat mu. Akan ku bariskan sebaik mungkin bahasa seninya agar ia menjadi indah dan menyejukkan hati mu setelah membacanya nanti.Ibu… senyum tawa mu masih segar di ingatanku. Walaupun dikau tidak melahirkan aku, namun kehangatan jari jemarimu yang membesarkan aku cukup bermakna buat diri ini. Pengorbanan mu sebagai ibu kepada ku amat ku sanjungi. Aku lah permata hati mu, aku lah penyeri hidup mu. Kau dakap aku, kau timang aku, kau belai aku penuh manja. Aku tahu, selama lima tahun ayah dan ibu menunggu kehadiran seorang bayi untuk memecah kesunyian mahligai kecil mu, tapi apakan daya, segala-galanya di takdirkan ibu dan ayah tidak dapat melahirkan zuriat dari darah daging sendiri. Ibu… masihku ingat tatkala kita mandi di pinggir kali… berenang di tepiannya… masih ku ingat kita mandi bersama ayah di perigi, di bawah sinaran bulan mengambang, seronoknya masa itu bukan?… ibu dan ayah menjirusku, sabunkan badanku. Aduhaiiii… manjanya aku! Aku juga ingat kenakalan ku malas mandi… sampai merajuk dan hilangkan anting-anting… maafkan aku ibu, maafkan aku kerana nakal.Ibu.. masih ku ingat … ibu menyuruh aku menjual taugeh…. Aku menjunjung dulang yang berisi taugeh yang telah kau tompok-tompokkan. Aku tidak menjualnya, aku menyembunyikan diri ku di belakang pagar. Aku malu ibu.. aku malu untuk menjual dari rumah ke rumah, isyyyy, nakalnya aku…. Maafkan aku ibu kerana menipu mu.
Ibu… hembusan bayu pagi dan deruan ombak memukul pantai masih juga dalam ingatanku. Waktu itu, saban minggu aku menemani ibu ke pantai mengutip dedaun dan pelepah kelapa untuk ibu buat atap sebagai mata pencarian sampingan. Bila pulang, aku menjunjung dedaun kelapa yang telah siap ibu ikat dan ibu pula menjunjung pelepah kelapa serta dedaun kelapa. Ah…. Sedihnya aku mengingati saat itu. Betapa pengorbanan mu sebagai seorang isteri, wanita dan sekali gus sebagai seorang ibu untuk membantu kewangan rumahtangga mu. Kini, setelah aku berumah tangga baru aku faham…. Maafkan aku ibu.Ibu.. engkaulah ratu hati ku. Engkaulah kekasih hatiku. Kini kita terpisah. Ibu dengan corak penghidupan ibu dan aku juga begitu. Kita sama-sama menjadi ibu, kita sama-sama ada tanggungjawab yang harus dipikul. Ibu.. kita terlalu jauh berpisah.. kita juga terlalu lama berpisah, sukar untuk kita bersama lagi mengulangi detik waktu yang telah berlalu. Namun sekali sekala kita bertemu, terubat juga kerinduan dikalbu yang tidak pernah padam antara kita berdua. Ibu… entah apakah bentuk hadiah yang harusku berikan pada mu sebagai tanda kasih dan sayangku pada mu?. Jika aku seorang pelukis, akan ku lukiskan wajah mu bagai bulan purnama, jika aku seorang akitek, akan aku bina sebuah tugu lambang kasihku pada mu, jika aku seorang jutawan, akan ku tempah sebuah pesawat untuk kita terbang bersama di angkasa raya, meredah langit biru dan awan kelabu! Oh ibu….. aku tidak mampu, aku tidak punya apa-apa selain dari hati dan perasaan yang terlalu kerdil ini. Ibu.. kita sudah menghampiri pelabuhan senja… kita sama-sama berada di ufuk itu… kita tak bisa mengulangi zaman zilam yang penuh nostalgia bersama lagi. Ibu kini menghabiskan sisa-sia hidup bersama ayah.. bersama suka duka sebagai isteri yang dimadukan, bersama tawa dan tangis sebuah penghidupan yang tidak pernah kau pinta sebelumnya. Ibu… ingin ku bisikan ditelinga mu.. andainya malaikat datang menjemput mu, aku mohon pada Allah SWT.... agar aku berada disisi mu ketika ibu melalui saat itu, ingin pangku tubuhmu…. ingin ku genggam erat tangan mu….. menemani mu untuk meninggalkan aku buat selama-lamanya.
Ibu.. terima kasih kerana kau telah membesarkan aku. Terima kasih kerana memberi aku peta penghidupan yang beranika warna sebagai bekalan dan pedoman. Ibu, terima kasih kerana kau telah mengajar aku menjadi manusia, Ibu… terima kasih atas resepi yang kau berikan pada ku. Terima kasih … terima kasih ibu. Engkau lah ibuku, engkau lah guruku, engkaulah kawanku dan sekali sekala, engkau jadi lawanku!…. Ha.. ha.. ha.. gelinya hati ku… bila teringat aku di pukul kerana kenakalan ku!Ibu, ingin ku hulurkan jari sepuluh memohon keampunan di atas segala dosa-dosa semalam. Dosa-dosa silam ku terhadapmu. Ampuni aku ibu.. ampuni aku kerana terkadang aku telah mengalirkan air mata mu hingga tumpah ke bumi. Terkadang aku membuat hati ibu kerinduan.... kekadang... aku menguris hati ibu... Ampuni aku ibu. Inginku katakan diwarkah nih bahawa... kasih dan sayang mu adalah tulus ikhlas, suci murni... bab embun menitis dini hari... yang tiada bandingnya, tiada batas sempadan apatah lagi tiada dendam terhadap diriku... I love u mum....

Ibu… andainya kau pergi dulu dari ku, akan ku semaikan pepohon kemboja di pusara mu. Agar pusara mu sentiasa harum mewangi, sewangi kasturi dan semerbak mawar kembang di tangkai.
Ibu… andainya kau pergi dulu dari ku… akan ku hadiahkan Al-fatihah buat mu ibu. Aku akan terus berdoa agar engkau di hadiahkan syurga oleh NYA di akhirat nanti. Aku doakan engkau terlepas dari azab kubur dan azab api neraka. Semoga engkau dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh. InsyaAllah.

Tapi ibu... andainya aku pergi dulu sebelum mu... jangan kau tangisi pemergian ku... jangan kau berduka dengan ketiadaanku... teruskan hidup ibu hingga ke penghujung usia.... Sembah salam dari ku buat ibu... akan ku bawa kasih mu bersemadi bersama jasad ku...DAN..... ibu pergi dulu sebelumku... ibu telah menghembuskan nafasnya yang akhir di pagi Selasa yang hening tanggal 19 April 2005 bersamaan 10 Rabiulawal 1426. Tinggallah aku bagai hilang tangkai.... tiada lagi bahu tempat aku bersandar bila aku kesepian.... tiada lagi telinga untuk mendengar rintihanku... tiada lagi airmata untuk berkongsi suka dan duka... tiada lagi gelak tawa melihat telatah anak-anakku yang juga cucu-cucunya..... namun, aku bersyukur kerana doaku dimakbulkan Allah SWT, di mana, pada saat-saat perjalanan terakhir ibu ke alam barzah, aku di sisi arwah, menemaninya..... kepala ibu di pangkuanku... aku iring perjalanan ibu dengan doa dan kalimah syahadah di telinga ibu..... SEMOGA IBU DAMAI DI SANA.... AMIN....

Ahad, 10 Januari 2010

Maal Hijrah and Selamat Tahun Baru 2010

Syukur Alhamdulillah kepada NYA. Aku masih di sini... di bumi NYA. Masih sihat tubuh badan. Masih boleh menggerakkan kaki, tangan dan mata. Masih boleh mendengar dengan baik. Masih boleh bertutur. Cuma, ingatan 'sedikit pelupa' sudah menguasai hidupku. Sorry... lama tak jumpa di blog ini. Sekarang 'giler' dengan facebook. Anak-anak muda tergelak pada ku kerana orang 'tua' macam aku melayari Facebook. Hahaha... di abad ini, usia bukan penghalang, usia juga bukan menjadi pengukur untuk kita 'stop' aktiviti di sekeliling. Kita mesti berpandangan positif dan mengisi segala yang 'sihat' dalam apa jua kehidupan yang kita lalui.Paling happy, saat yang telah lama aku nantikan, kisah aku mencari dan terus mencari beberapa kawan lama yang terputus hubungan sudah melebihi dari 25 tahun menjadi pembuka tirai 2010. Salah seorang kawanku semasa mengikuti kursus Penolong Jururawat Pelatih di Hospital Besar Kelang dapatku hubungi semula. Beliau adalah Azizah Ariffin, kini bertugas di Hospital Besar Kota Bharu Kelantan. Beliau merupakan teman sebilik dan paling rapat denganku. Bak kata orang tua-tua, teman tidor sebantal, makan sepinggan. Penghujung April 1983 merupakan 'gathering' terakhir aku bersama dengan Azizah dan sebahagian dari kekawan satu kuliah. Aku mengadakan majlis ringkas tetapi meriah khas untuk teman sekuliah dari sekolah Jururawat Hospital Besar Kelang Selangor sempena meraikan perkahwinanku di Ampang Jaya, Kuala Lumpur. Aku menghubungi Azizah setelah aku mendapat nombor telefon dari seorang kenalan satu jabatan denganku. Suara kami bertemu di udara. Macam mimpi! rasa tak sabar untuk bertemu dengannya. Aku bercadang untuk mengambil cuti bagi menemui beliau dan mungkin kekawan yang lain. Hanya masa dan izin NYA segala impian ku akan menjadi nyata. InsyaAllah.
Aku tetap mencari dan terus mencari kekawan ku yang lain..... di manakah dikau wahai Ang Chai Eng...teman yang selalu menemani aku bila 'outing' , Norhayati ... orangnya manis, lemah lembut.. berambut ikal mayang... nice lady.... seronok berkawan dengannya. Maimon... anak pak imam dari Bachok, teman satu bilik denganku. Che Zainun... juga teman sebilik... Hamizan... 10 tahun yang lalu aku dapat tahun beliau bertugas di Hospital Besar Kajang, Selangor, dan ramai lagi yang tak mampuku penuhkan nama-nama mereka di ruang ini.
Ok... aku akan menulis lagi......

Selasa, 15 Disember 2009

Akan tibakah saat itu....

Hampir 3 minggu aku tidak menulis di Blog kesayangku ini. Aku kini jadi 'hantu Facebook'. Semuanya bermula kerana Kak Asma. Beliau merupakan kawan satu jabatan dan telah bersara pilihan. Kini sedang mengikuti suami bertugas di luar negara, dah lebih dari lima tahun beliau di Switzerland. Seronok tengok gambar-gambar beliau melalui Facebook. Terpaku aku melihat keindahan di awal musim 'autumn'. Maha Agong Allah SWT, indah sungguh dunia ciptaanNYA. Dedaun kemerahan... kekuningan... luruh menyembah bumi. Hatiku dan perasaanku mula melayang jauh... jauh dan jauh.... oh, alangkah bertuahnya jika suatu hari nanti aku dapat melihat dan merasai sendiri musim-musim seperti ' autumn' (musim gugur)... 'winter' (salji) .... 'summer' (panas) dan 'spring' (bunga) .... Seingat aku, sejak di bangku sekolah rendah, aku amat berminat dan menyimpan angan-angan untuk menetap diluar negara dan merasai suasana empat musim. Waktu itu aku berkhayal sorang diri dimana aku berlari-lari ke kaki langit meredah salji (mak aiiiii... la nih, kalau buat macam itu, jawabnya, masuk sepital lah, asma!) Aku juga berkhayal bertemu 'cinta' di musim bunga... (dahsyat punya khayalan - semuanya kerana pengaruh filem hindustan... macam filem Aa Gale Lag Ja, Yaddon Ki Baarat, alaaa.... zaman tersohornya Shammi Kappor, Shashi Kapoor, Rishi Kapoor, Hema Malini, Zeenat Aman dan lain-lain... (lupa namanya.... rupa masih terbayang kat mata).

Akan tibakah saat itu dalam hidup ini?.....

Selasa, 24 November 2009

Akulah Wanita itu

Sambil memandu skuter 'Yamaha ego' untuk ke tempat kerja, tetiba ilham menjelma.... begini bunyinya...Wanita, isteri dan ibu, senangnya menyebut perkataan itu. Tahukah kalian, untuk sampai ke destinasi hari ini, banyak liku perlu dilalui. Harus hebat bermain gelombang. Wanita bekerjaya sentiasa mengejar masa, memandu tak kira cuaca. Hujan dan panas, perkara biasa. Pagi, sejuk menyusuk hingga ke tulang putih. Tengahari, panas terik bagai membakar kulit. Petang... aduh.. hujan lagi, redah aja lah....

Wanita, isteri dan ibu. Akulah wanita, akulah suri, akulah ibu. Di rumah - memasak, membasuh, membersih, mengemas dan macam-macam lagi. Kekadang tak ubah macam kuli. Ahhh... Aku tak boleh berperasaan begitu, tak ikhlas namanya... berdosa pada anak dan suami! Malam - rehat badan dan minda hingga ke pagi. Lena diulit mimpi.

Wanita, isteri dan ibu. Aduhhhh.. beratnya tanggungjawab itu. Perlu kekuatan diri. Perlu keyakinan hati. Perlu kesihatan nurani dan perlu keikhlasan budi!.

Bertanya pada diri ini.... masih cantikkah aku, masih maniskah lagi senyumku, masih indahkah lagi langkah dan lenggokku... selagi ada perkataan masih, pasti aku akan terus bertanya pada diri ini.

Bertanya lagi pada diri ini... Sempurnakah aku jadi permaisuri, hebatkah aku jadi ratu di hati suami?... Kelu lidahku untuk berkata... kerana aku tak mampu berbicara akan jawapan itu. Yang pasti, tiada manusia dilahirkan sempurna... Semuga dosaku diampun oleh NYA.
Bertanya dan terus bertanya pada diri ini. Apa akan jadi pada anak dan cucuku nanti. Buat apa difikirkan itu semua, tahulah anak dan cucu meneruskan hidupnya. Sandarkan hati dan perhambakan diri pada Rukun Islam 5 perkara:
  1. Mengucap dua kalimah syahadah
  2. Menunaikan solat fardu lima waktu
  3. Berpuasa pada bulan Ramadhan
  4. Membayar zakat - Zakat fitrah, Zakat harta
  5. Mengerjakan Haji di Mekah bagi mereka yang mampu
dan sesungguhnya, tidak kerugian kalian junjung Rukun Iman 6 perkara
  1. Beriman kepada ALLAH SWT
  2. Beriman kepada Malaikat-malaikat
  3. Beriman kepada Kitab-kitab
  4. Beriman kepada Rasul-rasul
  5. Beriman kepada Hari Kiamat
  6. Beriman kepada Qada dan Qadar
InsyaAllah, selamatlah kita dunia dan akhirat.

Aku bertanya lagi.... apa akan jadi padaku esok pagi? Mudah-mudahan masih boleh melihat mentari.....

Isnin, 12 Oktober 2009

Ingin ku kongsi rasa hati

Sudah lama aku tidak menulis di ruangan ini. Masa tidak mengizinkan. 'Masa' di bulan Ramadhan amat padat. Pulang saja dari pejabat, terus ke dapur untuk menyediakan juadah berbuka puasa dan bersahur (untuk bersahur hanya panaskan saja lauk-pauk yang ada, cuma tambah masakan sayuran sahaja).

Hari minggu juga sibuk. Langsung tidak ada kesempatan untuk 'lepak' kat blog ini. Idea ada cuma masa tak mengizinkan.

Lepas Aidilfitri sibuk dengan tugasan di pejabat. Sibuk memenuhi undangan 'rumah terbuka' juga kenduri kahwin. Badan pula tak terkiralah letihnya. Kalau boleh, rasanya nak bercuti untuk seminggu berehat di rumah (betul ke boleh berehat kat rumah ni... kat rumah lagi tak duduk diam, ada saja kerja rumah yang perlu di buat... ahhhhhhh.... penatnya badan nih)Kekadang aku berangan sendirian, bangun saja dari tidur, sarapan pagi dah tersedia di meja. Tengahari pula dah siap hidangan makan tengahari. Malam pula dah terhidang makan malam... aduuuuu.... seronoknya jadi macam seorang permaisuri, tak perlu pegang periuk belanga, tak perlu pegang lesung batu. Buka saja almari pakaian, dah siap baju diseterika. Bilakah akan tiba saat itu?......Teringat pada arwah ibu... penatnya dia menjalani tanggungjawab sebagai suri rumah sepenuh masa. Sebagai ibu, isteri dan wanita. Arwah ibu pernah buat kuih untuk jualan, ambil upah menjahit, menganyam tikar mengkuang, buat atap dari daun kelapa, mengusaha taugeh secara kecilan, semuanya itu adalah untuk menambah wang saku, dapatlah ibu belikan keperluan sendiri. Ayah pula berpendapatan rendah, gaji yang diterima hanya cukup makan saja pada masa itu. Itulah pengorbanan ibu. Penatnya ibu... kesian ibu... kini, baru aku faham sebuah kepenatan. Maafkan aku ibu...
Bersama ini ku sertakan lirik lagu kegemaranku YESTERDAY ONCE MORE..... sewaktu di bangku sekolah menengah hingga ke hari ini. Lagu ini ku tuju khas buat teman-teman seperjuanganku semasa di SMSO/DESS, SKDP2, istimewa buat adik dan Ruzi... dan paling indah buat cik dan baq. Selalu nyanyi sorang-sorang walaupun suara tak sedap (anak-anak selalu kata padaku, 'mak.... jangan menyanyi, nanti hujan turun', ahh... aku tak peduli, nyanyi jugaklah, lagu-lagu melayu era 70an, kekadang lagu orang putih, terkadang lagu industan dari filem bobby - tapi, nyanyi hanya sekerat jer, tak ingat lirik).
When I was young
I'd listen to the radio
Waiting for my favorite songs
And when they played, I'd sing along
It make me smile

Those were such happy time
and not so long ago
How I wondered where they'd gone
But they're back again
Just like a long lost friend
All the songs I loved so well
Every Sha-la-la-la
Every Wo-0-wo-o
Still shines
Every shing-a-ling-a-ling
That they're starting to sing's
So fine.
When they get to the part
Where he's breaking her heart
It can really make me cry
Just like before
It's yesterday once more

Looking back on how it was
In years gone by
And the good times that I had
Makes today seem rather sad
So much has changed

It was songs of love that
I would sing to then
And I'd memorize each word
Those old melodies
Still sound so good to me
As they melt the years away
Every Sha-la-la-la
Every Wo-o-wo-o
Still shine

Every shing-a-ling-a-ling
That they're starting to sing's
So fine.
All my best memories
Come back clearly to me
Some can even make me cry
Just like before
It's yesterday once more

Sabtu, 3 Oktober 2009

Aidilfitri 2009

Aidilfitri 2009 merupakan tahun berhari raya di Kampungku, Dungun Terengganu. Selepas solat Aidilfitri di surau berhampiran, kami ke rumah terbuka Pegawai Daerah Dungun di atas jemputan isteri beliau yang merupakan kawan satu sekolahku di SMSO.Sekitar pukul 1.30 petang kami bertolak ke Kuala Terengganu untuk berhari raya dengan ibu kandungku serta adik beradik (adik beradik satu ibu tetapi berlainan bapa). Malam baru kami pulang ke 'Teratak Mek Chah'.  Kemeriahan malam raya sangat terasa setelah beberapa tahun tidak melalui saat kemeriahan sebegitu. Di halaman rumah riuh rendah anak-anak ku bersama dengan anak saudara bermain bunga api dan mercun. Sesekali terasa bingit dengan dentuman mercun. Entah di mana Ruzi (adik lelakiku) beli mercun yang membingitkan keheningan malam.Pada hari raya kedua aku mengadakan majlis 'rumah terbuka' dengan menjemput saudara mara yang terdekat, jiran dan sahabat lamaku. Majlis bermula pada pukul 10 pagi sehingga pukul 5 petang. Seronok dapat bertemu dengan mereka.Hari itu amat membahagiakan hati dan perasaanku. Maklumlah setelah 2 ke 4 tahun tidak bertemu dengan saudara mara, atau pun sahabat lama, pada hari itu kami bertemu lagi dalam suasana yang 'simple' tetapi meriah. Nasi minyak berlauk ayam masak merah dan gulai daging ku tempah dari rakan lama yang satu sekolah denganku. Enak masakannya. Tapai dan ketupat pulut daun palas ku tempah dengan sepupuku yang tinggal di Pinang Merah, Kampung Nyior. Ketupatnya boleh dipuji kerana cukup santan dan melemakkan.
Adakalanya hatiku terharu kerana mendapat tahu sesetengah saudara maraku telah pergi buat selama-lamanya. Al-fatihah buat mereka.

Pada raya ketiga, aku dan famili ke Teluk Bidara. Kami mandi di pantai. Ombaknya tenang bagaikan gembira menyambut kehadiran kami. Suatu masa dahulu, aku pernah bermain ombak di pantai ini, parut masih terpahat di kaki kananku akhibat mandi laut dan hampir lemas. Nasib baik ombak menolak aku walaupun aku dihantuk pada batu-batu yang indah memagari pinggir pantai. Waktu itu, aku lihat kawanku Salmah terjun dan timbul dengan baik, apa lagi, aku pun terjunlah juga, malangnya, aku tak tahu berenang, dua ke tiga teguk jugalah aku telan air masin.Adik iparku pula sibuk memancing, dapatlah dua ke tiga ekor ikan sebesar dua jari. Semuanya hanya untuk suka-suka dan dilepaskan semula. Aku tergelak dengan gelagat anak bongsuku Aizat, mandi pantai dengan berkain batik persis seorang nelayan... dan mengingatkan aku kepada nelayan di sebelah Terengganu suka berkain batik.Pada raya keempat kami berangkat pulang ke Seri Kembangan Selangor. Di situlah rumah kami, di situlah anak-anak kami membesar, dan di situlah tempat kami mencari rezeki untuk teruskan hidup selagi hayat dikandung badan.

Perjalanan pulang sangat lancar. Aizat memandu dari Dungun hingga ke Seri Kembangan. Walau bagaimanapun, aku tidak dapat melelapkan mata memandangkan kelajuan yang sekali sekala melepasi had laju, mulutku tak habis-habis mengomel serta mengingatkan Aizat supaya memandu mengikut had laju yang ditetapkan. Darah muda katanya. Tetapi, harus diingat, semuda mana darah, sedikit kesilapan akan bermandi darah! harus berhati-hati dan memandu secara berhemah, punya sikap sabar di jalan raya!Gumpalan awan di kaki langit (gambar di atas tu telah dirakam oleh anakku Izyan semasa perjalanan kami) mula mengambil tempat untuk melabuhkan tirai malam. Apakah aku akan bersama aidilfitri lagi di tahun-tahun mendatang... entahlah... Allah SWT saja yang tahu segala-galanya. Alhamdulillah, kami selamat sampai di rumah sekitar pukul 8.30 malam. Semoga kami dapat bersama lagi di raya akan datang. InsyaAllah.