Aku mencadangkan pada anakku supaya terus ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut. Gelisah membelenggu diriku yang amat sangat. Aku 'packing' apa yang patut untuk bekalan ke hospital sekiranya anakku dimasukkan ke wad. Alhamdullilah, sekitar pukul 12.30 pagi, doktor yang merawatnya mengesahkan beliau hanya demam biasa.
Setelah menelan beberapa biji ubat di samping sebiji epal hijau dan 3 ulas kurma, anakku terus terbaring lena. Suhu badann mencecah 39C. Aku mengambil beberapa helai tuala dan ketulan air batu lalu mengelapkan ke badannya bagi mempercepatkan penurunan suhu badannya. Aku rawatinya dengan hati yang penuh kasih, kutatap wajahnya penuh sayang. Dalam hatiku berdoa agar anakku bebas dari H1N1. Penyakit yang boleh membunuh!
Kesunyian malam mengingatkan aku saat-saat bersama ibu (angkat) yang telah membesarkan aku sejak dari lahir, bila aku sakit, ibu sentiasa di sisiku, memicit kepalaku..... pupuk-pupukkan air yang dicampur dengan dedaun cekur dikepalaku... sekali sekala membelai rambutku penuh kasih. Sebagai suri rumah, walau sesibuk mana sekalipun, tatkala ada di antara anak-anak yang mereka bela seramai 3 orang jatuh sakit, ibu akan merawat kami bersama ayah (angkat), sanggup tak tidur malam demi memastikan kami lekas sembuh. Bawa jumpa doktor dan ada kalanya panggil pak dukun ke rumah.Kenangan dirawat oleh pak dukun sekitar tahun 60an kadangkala melucukan dan terkadang menghairankan. Bila demam, dikatanya kena sampuk dekat pokok itu, bila sakit mata sampai bengkak, dikatanya kena sampuk dekat paya itu. Bila diingat kembali aku tersenyum sendirian kerana setiap rawatan pasti disertai dengan 'air pinang'. Alaaa... macam citer P. Ramlee kat TV tu....
Ibu tak jemu-jemu bertanya padaku makanan apa yang aku inginkan. Begitu juga dengan ayah, setiap pagi, sebelum pergi kerja, ayah akan bertanya sama ada aku nak makan buah epal atau anggur.. hmmmm.... itulah buah paling 'exclusive' ketika itu. Epal dan anggur merupakan buah tangan untuk pesakit sama ada di rumah atau di hospital. Kalau tak sakit, setahunlah tak jumpa epal dan anggur.... geli gak hati ni apabila teringat kenangan tu, tapi sekarang ni tak kira waktu dan keadaan, boleh jumpa epal dan anggur di mana-mana pasaraya mahu pun di pasar malam.
Aku masih merawat anakku sambil mengetuk 'key board'. Ingatan bersama ibu datang lagi... kenangan disaat-saat akhir bersamanya. Dari hospital Daerah Dungun, ibu terus dibawa ke Hospital Besar Kuala Terengganu. Aku, Nurul dan Izyan mengambil penerbangan pada pukul 7.30 petang itu juga. Kami bertemu ibu di wad kecemasan sekitar pukul 9.30 malam. Aku dimaklumkan oleh saudara mara bahawa ibu sentiasa menyebut-nyebut namaku. Ibu seolah-olah tak sabar menunggu kehadiranku. Oh... rindunya ibu padaku.... kesian ibu.... dipendam saja rindunya itu terhadapku.
Sekitar pukul 6.50 pagi, aku tersentak. 'Botol drip' sudah tidak lagi mengalirkan air, aku memperbetulkannya. Mujur aku juga punya pengalaman dalam 'nursing', saat mengikuti kursus Jururawat Pelatih di Hospital Kelang dalam tahun 1981. Seketika aku mula dirundung cemas... amat cemas! Dari pengalamanku, itu adalah petanda buruk! Dalam debaran yang tiada keruan aku terus meluru ke arah doktor serta jururawat lantas memaklumkan tentang keadaan ibu. Doktor dan jururawat terus bertungkus lumus untuk menyelamatkan nyawa ibu. Lima minit kemudian, dengan nada tenang jururawat memberitahu aku bahawa ibu sedang dalam 'perjalanan' dan meminta aku 'membantunya mengucap' . Sambil menangis tersedu-sedu, aku mengucap dua kalimah syahadah di telinga ibu berulang-ulang. Aku dah tak peduli orang sekeliling dan tanpa aku sedari perasaanku mula hilang kawalan. Tangisanku menderu-deru umpama hujan dan guruh yang berdentum hebat. Aku sedih! aku terkilan! aku rasa bersalah! tak puas rasanya menjaganya ketika sakit, hanya satu malam aku sempat bersamanya. Sedari dahulu ibu sememangnya menghidap darah tinggi, lemah jantung dan kencing manis hampir 12 tahun. Ibu mula tenat sejak dua minggu namun aku tak pulang pada masa tu, terlalu banyak tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Anak-anak bersekolah. Aku bercadang untuk pulang semasa cuti sekolah yang hanya tinggal 2 minggu saja lagi. Berdosanya aku pada ibu... aku hanya menelefon ibu setiap hari, berbual sambil bergurau senda, cuma sehari dua sebelum ibu meninggal, ibu dah tak ada 'mood' untuk bergurau senda, bercakap pun sebiji-sebiji. Aku memang rapat dengan ibu. Kami sama-sama berkongsi suka dan duka. Apakan daya, bila sudah sampai ajal, tak mampu ditangguhkan walau sesaat pun.Jururawat mengesahkan ibu sudah 'tak ada'. Ya Allah... lemah longlai seluruh badanku. Alam sekelilingku sunyi! sesunyi-sunyinya. Pada pagi yang hening, bersama hembusan angin laut China Selatan, bersama deruan ombak yang mendayu-dayu menghempas pantai, ibu pergi menyahut panggilan Ilahi... dengan linangan airmata, perlahan-lahan ku tarik selimut di hujung kaki ibu, menutup tubuhnya yang terbujur kaku.... ibu telah pergi buat selama-lamanya.
Kini aku kehilangan orang yang paling rapat dalam hidupku. Kaulah ibu, kaulah kawan buat diriku. Tempatku mencurah segala suka duka... teman untuk bergurau senda. Kasih ibu (walaupun ibu angkat) terlalu tulus ikhlas, tak bisa ku temui kasih sebegitu lagi... tak mungkin. Kini, setiap hari aku rindu pada ibu, rindu pada keenakan ketupat sotong masakan ibu, ketupat daun palas dan ikan percik.... enaknya masakan ibu!, deria rasaku masih tergiang-giang akan air tangan ibu. Sukar ku padamkan ingatan ini pada ibu, setiap hari pasti wajah manis ibu bermain di mata. Saat-saat bersamanya. Sungguh indah dan manis! terlalu banyak kenangan yang pasti aku bawa hingga ke akhir hayatku.Ya Allah Ya Tuhanku, Kau cucurilah rahmat dan tempatkan Ibu, Meriam binti Saman di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Kau ampunilah dosa-dosanya. Kau berikanlah syurga buatnya. Semoga ibu aman di sana. Amin.






