Rabu, 22 Julai 2009

Pesan untuk anak

-->
Anak-anakku
Jika kau terjaga dinihari
ketahuilah....Malaikat senantiasa di sisi
Anak-anakku
Jika kau rebah ditengahari
Ketahuilah.... masih ada waktu untuk kau berdiri
Anak-anakku
Jika kau tidur di malam hari
Jangan pula terlalu bermimpi
Ketahuilah.... hidup ini penuh onak dan duri
Jika kau tak tahu jaga diri
Tersusuklah akan bisanya duri
Anak-anakku
Jika kau disanjung, jangan lupa diri
Jika kau di keji, bukan bererti kau di benci
Justeru itu, jagalah diri jagalah perketi
Pasti engkau akan di hormati

Anak-anakku
Apa pun terjadi... hidup mesti diteruskan
Ketahuilah...
Dunia milik mu, milik kita semua
Sayangilah.. dan cintailah hak NYA

Sabtu, 18 Julai 2009

Impian tak kesampaian....


-->Perantauan ku bermula Julai 1981 kerana mengikuti kursus Penolong Jururawat Pelatih di Hospital Besar Kelang (nama Hospital berkenaan pada masa itu). Walau bagaimanapun, aku berhenti mengikuti kursus tersebut pada akhir Julai 1982 kerana tawaran pekerjaan di sebuah Jabatan separuh kerajaan walaupun aku telah lulus peperiksaan untuk setahun pengajian.
Semasa mengikuti kursus tersebut, rakan sebilik ku semuanya berasal dari Kelantan iaitu Azizah Ariffin (Selising), Maimun Mohamad (Bachok) dan Che Zainun. Azizah Ariffin dan Ang Chai Eng merupakan teman paling rapat.Kumpulan kami yang terdiri dari 20 orang. Rozma berhenti hanya 6 minggu kursus sahaja dan sekarang sedang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Kuala Lumpur, Dip Kaur dengar cerita dah pun di naikkan pangkat sebagai Matron di Hospital Besar KL, Rozaini, Wan Rohaya, Siti Mariam (best student kumpulan kami), Siti Fatimah Mohd. Nor, Nurulaini (mungkin masih di Paris kerana mengikuti suami bertugas di sana), Hasnah, Siti Fatimah Daud, Noralani, Hamizan, Zaharah, Che Som, Norhayati dan Rohaya. Di manakah dikau semua berada wahai kekawanku?... maafkan daku kerana tak dapat menghubungi kalian. Semoga suatu hari nanti kita akan bertemu semula. Hingga saat ini, belum ada jawapan kenapa aku berhenti separuh jalan mengikuti kursus Penolong Jururawat Pelatih. Masihku ingat, sewaktu di bangku sekolah rendah dah menyimpan cita-cita untuk menjadi Jururawat..... tapi... entahlah, mungkin rezeki tiada di situ. Selama 17 bulan aku terpaksa melalui saat sukar kerana membuat bayaran balik ke Kementerian Kesihatan di atas biasiswa yang telah aku gunakan sebanyak RM1,467.00 secara potongan gaji bulanan sebanyak RM100.00 sebulan. Gaji ku waktu tu tersangatlah rendah. Perit jugalah....
Pengalaman semasa berkursus dan bertugas di Wad Lelaki, Perempuan, Kanak-kanak dan juga Wad Bersalin sangat menyeronokkan. Paling berharga sewaktu bertugas di 'Labour Room'. Aku dapat menyaksi sendiri beberapa kelahiran. Oh, sungguh menakjupkan! pertama kali menyaksi kelahiran, aku terpaku, mataku terkebil-kebil, membisu seribu bahasa. MasyaAllah.... Maha Kuasa dan Maha Agong Allah SWT yang mencipta langit dan bumi, yang menjadikan manusia dari segumpal darah, setiap saat ada kelahiran baru, dan pastinya... ada saat ada kematian diantara kelahiran itu....Kenangan manis yang masih tersimpan, tentang telatah beberapa orang pesakit. Seorang darinya yang di kenali dengan panggilan 'Wak' berasal dari Banting Selangor. Beliau bawa buah-buahan seperti durian, manggis dan rambutan untukku. Seorang lagi pesakit lelaki yang berasal dari Simpang Empat Perak bawa satu beg galas, penuh dengan mangga.

Seorang lelaki tua berketurunan india dan buta, sangat mencuit hati ku. Setiap pagi aku mandi dan menyuapkan beliau makan. Seminggu jugalah aku menjalankan rutin tersebut. Satu hari, doktor yang bertugas telah memutuskan dia boleh keluar dari wad dan pulang. Dia minta simpati, dia tak mahu pulang. Aku memujuknya semampu boleh, dia berkeras tak mahu pulang dan sanggup tidur di bawah katil di hospital tersebut. Aku tak tahu kesudahannya. Keesokan harinya beliau sudah tak ada di katil wad.Hati dan perasaan wanitaku tersentuh oleh seorang banduan lelaki cina. Kesalahannya ialah 'dadah'. Dia di tempatkan di penjara Pulau Jerjak. Aku bertugas sebelah malam pada hari terakhir sebelum dia di keluarkan dari hospital tersebut. Setiap pukul 10.00 malam, kami ditugaskan memasang kelambu di katil yang ada pesakit. Bila tiba di katilnya, beliau memberitahu yang dia ingin mencari aku setelah dia dikeluarkan dari penjara suatu hari nanti. Dengan suara yang perlahan dan merdu, dia yanyikan lagu 'when i need u.... i close my eyes ....' hiba juga hatiku, dan hanya mengiakan hajatnya itu walaupun hingga ke hari ini aku tidak tahu akan nasibnya.Terlalu banyak kenangan walaupun hanya seketika sahaja aku mengikuti kursus berkenaan. Thanks to Pn. Zainab (Pengetua), juga pensyarah kami iaitu Staff Nurse Noraini dan Staff Nurse Rohaya. Ilmu yang dicurah masih digunakan sehingga ke hari ini. Aku juga masih mencari-cari di mana kalian berada, sihatkah kalian? Doaku, semoga kalian bahagia dan sihat sejahtera di samping keluarga tersayang.

Sabtu, 11 Julai 2009

Anak-anakku... penyambung warisan..... agama, bangsa dan negara

Syukur Alhamdullillah... pejam celik.... pejam celik, anak-anak semuanya dah remaja, melihatkan perjalanan hidupnya yang penuh warna warni membuatkan aku terlupa pada kesakitan di saat melahirkan mereka.

Nurul Amirah

Nurul Amirah 
Anak pertama perempuan, dilahirkan di Hospital Daerah Dungun Terengganu, sekarang ini masih menyambung pengajiannya di peringkat Ph.D di sebuah universiti awam tempatan. Anak sulungku ini di besarkan oleh nenek (arwah) dan datuknya di Dungun Terengganu dari umur 70 hari hingga ke umur 11 tahun. Darjah enam baru dia tinggal bersama-sama kami.

Mohd Amiruddin 

Anak kedua lelaki, dilahirkan di Hospital Daerah Dungun Terengganu. Telah tamat pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah di sebuah universiti swasta tempatan. Sedang mengikuti pengajian peringkat Master. Masih bercita-cita untuk menyambung pengajian yang seterusnya.

Nurul Izyan

Inilah anak perempuanku yang telah mengajar aku 'buat blog'. Becok orangnya.  Suka bercerita, beraneka tajuk. Anak ketiga ku ini dilahirkan di Hospital Daerah Kajang Selangor. Baru tamat pengajian di peringkat Ijazah di sebuah universiti swasta tempatan.

Muhammad Aizat

Tu arrr..... this is my last one... dilahirkan di Hospital Daerah Kajang Selangor, merupakan anak bongsu. Tamat diploma dan sedang menyambung ijazah di sebuah universiti awam tempatan. Impian untuk mengikuti kursus penerbangan masih belum tercapai, belum ada rezeki. Sangat meminati bola keranjang. Cuti semester asyik latihan dan memasuki pertandingan. Pernah memenangi beberapa pertandingan bola keranjang.

*****************************************************************************
Anak-anakku, harumkan Malaysia ke persada dunia! InsyaAllah... doa yang tulus ikhlas dari seorang ibu sentiasa mengiringi perjalanan hidup kelian.

To all of you, "... you are my life... i love you all.... "

Jika kamu berada di langit tinggi... jangan lupa rumput di bumi.... jika kamu jatuh tertiarap.... cepat-cepat berdiri tegap....

****************************************************************************

Jumaat, 10 Julai 2009

Coretan sebuah rindu

Di sini ku ingin berbicara
Bicara yang tiada sempadan
Bicara hati seorang insan
Bicara yang tiada noktahnya...
Ingin ku dakap masa berlalu
Ingin ku ulangi cinta yang syahdu
Ketawaku....... di mana-mana
Nangisku.... engkau kah tahu?
Di sini ku hayunkan jemari
Mengukir tentang kehidupan lalu
Yang memberi aku pengalaman
Yang mengajar aku dewasa
Mengenal diri dan mendekati Nya
Di sini ku berbicara lagi
Ingin rasanya diri dibelai
Dan... mencari-cari mutiara kasih
Menunggu cinta abadi
Janji mentari tenggelam sebelah barat... pasti!
Alam sekeliling jadi gelap
Neon tidak lokek memberi cahaya
Sang bulan tetap setia menyinar
Malam yang memberi aku seribu ilham
Malam membisikkan kerinduan
Malam mendedahkan keasyikan
Malam juga mengingatkan aku pada NYA
Sesekali, malam-malam begini membosankan
Sesekali, malam-malam yang berlalu, sunyi dan sepi
Tiada lagi deruan ombak
Tiada lagi kokok ayam
Tiada lagi kicauan burung
Sang unggas dah lama merajuk
Di kejauhan ini, aku membilang masa-masa berlalu .....
..... telah ku tinggal keindahan lampau
..... mindaku tak bisa menyimpan memori silam
Yang ada, cuma sisa-sisa semalam
Malam-malam begini, aku terus berbicara
..... tentang rindu .....
Aku rindu pada kisah silam
Aku rindu pada kisah semalam
Aku rindu! Sungguh aku rindu

Mek Chah.... 10 Julai 2009

Khamis, 9 Julai 2009

Tentang Mek Chah ku sayang

Hmmm.... terujanya... dah lama Mek Nun idamkan blog sendiri. Bukan tak mahu buat, tapi tak tahu nak buat, nasib anak perempuan yang becok tu ajar camner nak buat blog. Wahhhhhhh, Senang jer rupanya. InsyaAllah Mek Nun akan terus aktif dengan blog ini dari masa ke masa.

Hampir 27 tahun Mek Nun hidup sebagai seorang Jurutaip, bermula dengan mesin taip biasa. Letih gaklah jari jemari mengetuk mesin tu dengan riben separuh hitam, separuh merah. Jika silap taip melibatkan beberapa muka surat terpaksa di taip semula. Kemudian di ikuti dengan mesin taip letrik. Kerja lebih mudah dan pantas. Dan di akhir 80an mula di perkenalkan dengan komputer oleh ketua jabatan. Terhegeh-hegeh belajar menggunakan komputer yang tersangat baru dalam tugasan harian. Silap sikit, apa yang kita taip hilang. Alhamdullillah, berkat usaha dan tunjuk ajar pegawai-pegawai atasan (Thanks to Dr. Lum Keng Yeng, beliau adalah guru pertama Mek Nun dalam mengenali bahasa komputer),

Sewaktu di zaman persekolahan, Mek Nun sangat berminat menulis cerpen, sajak, puisi dan pantun. Dalam sehari mesti berangan mengunjungi beberapa negara di dunia ini setelah di pengaruhi dengan filem hindustan, Indonesia dan beberapa filem omputih. Alhamdullillah, angan-angan tersebut banyak yang telah menjadi kenyataan.
Bermula dengan perjalanan ke Kota Madinah dan Makkah pada tahun 1994 mengerjakan umrah bersama suami, kemudian di ikuti dengan melancong ke Sydney dan Melbourne (1997) juga bersama suami, dan pada tahun 1997 sekali lagi Mek Nun mengerjakan umrah kali kedua serta ziarah ke Jordan dan dapatlah merasa kehangatan air di Laut Mati bersama-sama Allahyarhamah ibu angkat (di besarkan oleh keluarga angkat sejak dari lahir), Nurul (anak pertama) dan Amir (anak kedua). Pada tahun 1998 melancong ke Medan Indonesia.
Madinah

Makkah

Aman Jordan

Sydney 
Jogjakarta - Majlis perkahwinan keluarga
Rezeki dari Allah SWT datang lagi dengan menjemput Mek Nun ke kota suci mengerjakan fardhu haji pada tahun 2002 bersama Allahyarhamah ibu mertuaku. Pada tahun 2008 Mek Nun ke Jogjakarta menghadiri majlis perkahwinan keluarga. Selang beberapa bulan kemudian Mek Nun melancong ke Beijing bersama rakan sepejabat, Khasifah namanya. Dapatlah panjat setingkat 'great wall' di sebabkan kesihatan lutut yang tak mengizinkan. Pada November 2008 amber ke Solo dan Jogjakarta bersama-sama dengan Izyan (anak ketiga).

Di Arafah ngan mertua

Beijing

Jogjakarta lagi....
Banyak lagi impian yang masih tersimpan di hati ini iaitu ingin ke beberapa negara eropah, timur tengah, New Zealand, dan juga ke Mumbai dan Kashmir. Semoga suatu masa nanti impian itu menjadi kenyataan.