Jumaat, 30 Mei 2014

Dah Jadi YB pun....

Alamakkkk... pejam celik.. pejam celik... dah nak masuk 6 bulan aku jadi YB (Yang Bersara).  aku masih dalam proses mengenal 'hati dan perasaan'.... tu dia... cam ayat artis pulak... tapi... aku tukar sikit jer tu... tak pakai lah ayat artis seratus peratus iaitu... 'dalam proses mengenal hati budi'... keh keh keh... yer lah... aku bukan artis... bukan diva pun.

Aku mula bersara secara rasmi pada 2 Januari 2014.  Bersara dengan umur 56 tahun.  Cukup cukup lah... aku perlu rihat... rihat minda dan rihat segala galanya.  Perlu masa untuk diri sendiri... masa untuk family.  aku 'hutang' masa dengan diri sendiri... dan dengan keluarga.  Semoga aku dapat 'membayar' nya semula walaupun di penghujung usia....

Dalam masa hampir 6 bulan ni, aku juga dah dapat title 'nenek'... dah dapat seorang cucu.  Seorang Puteri diberi nama Iman Adriyana yang akan memeriahkan hidup kami sekeluarga.  InsyaAllah.  Tapi, jarang jumpa.  Jarang dapat berita.  Cucu dengan mama dia menetap di kampong halaman mama dia di Jerangau.  Papa dia dah berkelana... sambung belajar.  Nak jadi Professor... itu lah impian papa dia sejak dari sekolah rendah.  Semoga impian dan harapan papanya tu, dimakbulkan Allah SWT.  Amin.
Iman Adriyana ngan Nenda. Masa ni umur Adriyana 44 hari
Ada jugak kekawan bertanya... tak rindu cucu ke... hmmmm..... jawapan mudah... rindu.... jika rindu, tengok saja gambar Iman Adriyana.  Nasib baik aku ambil banyak gambar Iman Adriyana dari hari pertama kelahirannya sehingga Adriyana berusia 51 hari.  Itu lah kali akhir aku bersama Iman Adriyana... cucu pertama ku.

hmmmmm.... tak mengapa lah, lupakan sementara.  Fikirkan masa depan ku pulak.  Dah jadi YB ni... tak kan lah nak menggolek kat rumah je siang dan malam.... Aku kena bangun... bangun mencari masa depan ku yang kian 'singkat' ni.  Rasulullah berpesan bahawa usia umat baginda sekitar 60 ke 70 tahun sahaja, jika lebih dari itu... haaaaaa, tu dah kira umur bonus. Oleh yang demikian, aku kena menjadualkan diri ku... semoga Allah SWT memberi aku jadual yang indah... yang menguntungkan diri ku. InsyaAllah.

Note:  Mohon maaf jika ejaan dan butir butir ayat tidak sempurna... ada masa, akan di edit semula.




Ahad, 23 Februari 2014

Merdeka raya - 31 Ogos 2011

MERDEKARAYA 2011

Biar gambar berbicara.. ada waktu, saya akan menulis tentang gambar gambar ini

Bersama sebahagian besar dari keluarga (ada yang tak dapat hadir)

Anak anak saudara bersama Nurul Izyan (sepupu dengan Izyan daaa)

Cabutan bertuah untuk memeriahkan lagi majlis


'kecuh' ..... untuk family photo


... seronok...




suasana meriah












Sabtu, 25 Jun 2011

Jadual semalam

Sejak awal Mei 2011 aku 'mula' semula ke pasar... mula mengambil tugas membeli barang dapor, dan keperluan-keperluan yang lain(seingat aku lebih kurang 4 tahun aku tidak 'aktif' ke pasar - cuma sekali sekala tu adalah pergi). Dalam tempoh tersebut, aku senaraikan barang-barang kepeluan dapor, dan suami yang ke pasar. Balik dari 'shopping' hmmmmm... orang lelaki, belinya ala kadarlah, ada saja yang tak cukup, kekadang dibelinya dalam kuantiti atau saiz yang kecil. Adussss.... nak makan 6 orang ni. Terima saja lah.

Kalau dulu dulu (awal kahwin hingga ke awal 2000an), saban minggu aku ke Pasar, membeli keperluan dapor untuk satu minggu punya stok. Ayam, daging (tempatan, import kurang minat sikit untuk dibeli), ikan, udang, sotong, anika sayuran, anika ulaman, anika bawang dan macam-macamlah sampai 2 ke 3 bakul terpaksa aku bawa ditemankan oleh salah seorang anakku.

Aku suka beli ikan bawal untuk masak 'sweet sour', ikan siakap untuk masak stim (masak stim aku ni ialah, ikan di belah tengah tapi jangan putus. Di tengah ikan tu di bubuh macam macam seperti serai, lada jarum, bawang, daun sup, daun bawang, asam keping, nak sedap lagi di percik sos tiram (sikit jadilah) dan lain-lain perasa). Aku juga suka beli ikan talapia (kegemaran anak-anak), tapi, aku 'stop' beli selepas kawan ku cerita yang beliau nampak sendiri cara ikan tu di bela dalam sangkar, di mana, satu kawasan berbukit, di atas sekali kandang kinzir... hmmmm.... segala zat atau vitamin tadi kandang ini mengalir ke bawah dan menujuk ke kolam ikan seperti talapia, keli, haruan dan lain-lain ikan yang sesuai, di bahagian bawahnya adalah kebun tanaman kacang panjang dan sayur-sayuran... sekali sekala air kolam ini dilepaskan untuk kesuburan tanaman sayuran. Alamakkkk... kembang tengkok aku daaaaa.... isyyyyy.... kenapa ini berlaku... jom.. kita sama sama fikirkan....

Kalau pergi ke pasar, aku juga suka beli rebun madu, ianya sedap untuk dimasak gulai, kari ikan, ayam atau daging. Haaaaa..... sayuran kampunglah paling aku minat seperti pucuk paku, pucuk midin, daun pegaga (selain dari buat ulam, ianya sedap jika di 'blend' bersama sedikit gula, atau boleh ganti dengan madu lebah hingga hancur, tapis airnya dan perah sedikit limau nipis. Masukkan dalam gelas, dan campak 3 ke 5 ketul ais... minumlah... hmmmm enak bukan.... segar pula badan bila pekena minuman ini). Kalau ke pasar ni, pantang tengok... ada jer nak di beli...

Masa-masa begitu telah lama berlalu, awal Mei dan baru semalam aku ke pasar. Pasar kali ini bukannya pasar borong Selangor atau Pasar borong Selayang atau Pasar Chow Kit (Pasar Chow Kit ni di tengah bandaraya KL - macamana lah rupa pasar Chow Kit sekarang ni yer, lama bebenor tidak berkunjung ke Pasar Chow Kit, dah lebih dari 20 tahun). KL ni, kalau tak ada hal mustahak, aku malas nak pergi, bosan dengan 'jem', sesak nafas dibuatnya. Pasar yang aku kunjungi kali ini ialah Pasar di komplek membeli belah 'Giant'. Bulan lepas habis dalam RM200.00. Beli sedikit ikan, sayur, sabun, shampoo, sauce, beras jati, anika bawang, buahan, rempah, biskut, milo, gula dan susu pekat FN. Macamana orang yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang... macam aku ni, beli sikit pun dah dua ratus terbang, agaknya mereka ni terpaksa kais malam juga untuk tambah pendapatan (maksud aku, kais malam adalah cari 'side income' atau kerja 'part time' di restoran makan, pengawal, pencuci kereta dan lain-lain yang mereka rasakan rezeki tu adalah halal untuk diri, anak isteri dan keluarga yang lain).

Semalam... habis dalam RM150.00. Beli ikan (sekali goreng, habis dimakan), sabun fab, sabun lux, ubat gigi colgate, minuman dalam kotak (jambu batu merah cerah), anika bawang, ikan bilis, buahan dan sedikit rempah ratus. Aku ditemani oleh Nurul Amirah. 'Lately' ni, suami dah tak berkesempatan untuk ke pasar, terlalu sibuk. Hmmmm ingatkan makin 'berumur' makin banyak masa, rupanya, makin berumur makin sibuk, makin tak ada masa!. Tak mengapa, aku dah biasa dengan kehidupan ini, sejak dari hari pertama perkahwinan kami. Dah lali dah.

1 hasrat... 1 tujuan.... dan 1 tuntutan

Alhamdulillah, impian untuk tengok anak-anak mendaftar dengan Tabung Haji telah terlaksana pada 22 Jun 2011 bersamaan 20 Rejab 1432. Dah lama (2 tahun yang lalu) aku meminta anak anak mendaftar, tetapi mereka buat endah tak endah...sibuk dengan study... kerja dan macam-macam hal serta alasan dia orang beri.

Kami berlima ke Tabung Haji Bangi (Selangor). Bagi melengkapkan syarat untuk mendaftar, masing-masing perlu ada simpanan sebanyak RM1,300.00 seorang. Alhamdullillah, semuanya selesai dengan baik walaupun aku perlu 'top-up' antara 2 ke 3 ratus seorang. Simpanan yang ada merupakan simpanan dari potongan gajiku sebanyak RM10.00 seorang sejak mereka berusia antara 2 ke 5 tahun lagi. Walaubagaimana pun, ada yang dah 'korek' simpanan tersebut kerana keperluan untuk pengajian mereka semasa di IPT. Malah, aku sendiri pernah korek dari salah satu simpanan mereka untuk menampong kos membaiki 'Mek Chah d Villa' kat Dungun Terengganu tu. Kalau tak, mana aku nak cekup duit, maklumlah, 'Mek Chah d Villa dan berusia lebih dari 30 tahun, dindingnya banyak dah reput.

Pada mulanya simpanan mereka adalah akaun bersama (ibu dan anak), tetapi apabila mereka sudah mencecah usia 18 tahun, maka mereka wajib menjadikan akaun persendirian. Apapun, aku sudah buka 'jalan' untuk mereka, terpulanglah pada usaha dan cita-cita mereka untuk menunaikan fardhu haji bila sudah cukup syarat dan sudah sampai seru oleh NYA.

Aku juga mengambil peluang untuk mendaftar kali kedua. Aku menyimpan impian untuk menunaikan fardhu haji sekali lagi selepas bersara kelak. Mudah-mudahan ada rezeki untuk ke sana lagi. Kami berlima ditawarkan untuk menunai fardhu haji pada tahun 2040. MasyaAllah. Lambat lagi tuuuu.... tapi, aku percaya pada takdir Allah SWT. Jika DIA menghendakkan hambanya 'jadi'... maka 'jadi' lah.....

Dah lama tak pijak Tanah Suci. Dah lebih 10 tahun. Banyak perubahan telah berlaku dalam tempoh tersebut. Tanah Suci telah di tumbuhi dengan bangunan-bangunan baru, bangunan pencakar langit. Aduuuuussss.... rindunya aku pada tanah ini.

Kepada anak-anakku.... Semoga kalian dapat pergi bersama-sama (4 beradik). Satu penerbangan.... satu kumpulan.... satu hasrat dan satu tujuan... untuk mendapat haji yang mabrur... dan jangan lupa... ianya satu 'tuntutan' setelah menepati syarat-syarat wajib haji. Jangan dok fikir nak melancong keliling dunia... fikir yang wajib dulu, jiwa akan tenang untuk perjalanan seterusnya jika yang wajib telah ditunaikan.

Khamis, 2 Jun 2011

Sibuk kah Aku

Hari terus berlalu tanpa 'berhenti' untuk menahan perjalanan kita semua walau pun sedetik cuma.  Hmmmmm dah masuk setengah tahun.  Rejab pun tiba.... Syaaban akan menyusul.... Ramadhan sudah mengamit kita.... mudah-mudahan kita semua akan bertemu Ramadhan.  Semoga Ramadhan tahun ini adalah terbaik dari tahun-tahun yang berlalu.

MasyaAllah.... cepat sungguh masa berlalu.  Terasa hujung tahun sudah menghampiri kita.  hmmmmm... dan aku... aku membilang hari... isyyyy... lambat lagi..... aku membilang bulan.... aduuuuiiiii.... lambat juga... dan aku membilang tahun... dua tahun setengah lagi... aku akan jadi YB.... apa itu YB?.... ha ha ha ha... jangan keliru tuan tuan dan nyonya nyonya... YB tu adalah YANG BERSARA.... yesssss... tak lama lagi aku jadi 'pesara'. 

Waktu tu.... aktiviti apa yang aku nak buat.  hmmmm sebahagiannya, dah ada dalam kepala, simpan dulu lah, kalau di paparkan kat sini, nanti macam menunjuk pulak... biarlah aku simpan dulu rancangan dan jadual hidup masa jadi pesara nanti.

Semoga aku dipanjangkan umur oleh NYA.  Dapat tengok anak menantu.... dapat tengok cucu dan cicit (berangan tuuuuu....)

Rabu, 16 Mac 2011

Buat tatapan temanku yang bernama WANITA

Khas buat seorang teman bernama ‘WANITA’ ... aku simpati dengan mu... mohon maaf, aku tidak berdaya membantu mu... hanya nukilan ini buat mengisi kedukaanmu.  Semoga ada kebahagiaan menanti mu dihujung sana....


…… Bersujud seorang wanita pabila musnahnya cinta pertama. Merayu penuh sopan untuk dikembalikan semula cinta itu, bagai seorang pengemis dengan lagu yang mendayu dayu, minta simpati, minta dikasihi…. lalu…. Cintanya dimusnahkan lagi… makanya… menghitunglah hari-hari yang dilewati bersama sekeping sempoa dengan manik-manik airmata yang menggelangsar jatuh menjurai dipipi lembutnya umpama kekaca halus yang sekali sekala memancar kilauan…. bagai memujuk hati yang dilukai bahawa masih ada cahaya di ufuk sana… bahawa, usah jadi wanita lemah, jadilah wanita yang gagah berani.

Namun, hati wanitanya tetap bersujud lagi untuk memberi atau mengambil peluang kedua kali… cinta baginya adalah sesuatu yang indah… persis cinta Adam dan Hawa…., Sayang oh sungguh sayang….. cintanya dinodai lagi! amat tragis!..... Oh wanita… bangkitlah, berdirilah, Gunakan seluruh kekuatan yang ada, pada keyakinan… pada ketabahan dan semangat juang yang tinggi, bahawa… kamu tidak perlu cinta… kamu tidak perlu sujud… kamu tidak perlu itu semua….. Percayalah…. Kamu perlu fikirkan tentang diri kamu….. Sesungguhnya… cinta yang suci murni adalah cinta yang lahir dari hati yang tulus ikhlas… cinta yang senentiasa dihargai akan lahir kebahagian dan keindahan. Lantaran itu… apakah ‘dia’ tulus ikhlas mengemudi sebuah bahtera atas dasar cinta?

Wahai wanita… usah jadi pengemis cinta… wahai wanita… usah jadi hamba kepada makluk bernama lelaki yang tidak tahu menilai harga hati nurani seorang wanita… wahai wanita…. Usah jadi lemah kerana cinta dari lelaki yang tamak dengan nafsu duniawi!

dan.... kepada wanita lain... dampingilah lelaki yang boleh membimbing kamu ke jalan yang di redhai... membimbing kamu dunia dan akhirat... insyaAllah.... kamu akan selamat.'

Apapun.... AKU sentiasa disisi mu, menemani mu dalam apa jua keadaan.  AKU tahu... kala kau lalui saat sukar mu, tiada siapa disisi... kecuali AKU. Percayalah.... AKU tetap bersamamu.  AKU sayang kamu...

Khamis, 7 Oktober 2010

Perjalanan ke Teratai Murni - Bedford

8hb. Julai 2010 dari Willsden Green, singgah jap di rumah Rositah (pemilik MHH holiday), ambil bau sikit suasana dalam rumah beliau di Luton kemudian kami singgah di Stockwood Discovery Centre di Luton. Sebuah muzium dengan barangan antik yang dipamerkan. Sangat menarik. Aku percaya, memang barang-barang tersebut sudah sukar untuk di temui di abad ini. Masa kami adalah terhad, kemudian terus Teratai Murni di Bedford. Anak-anak kami sempat berposing di sekitar Bedford. Dr. Rasol dan Pn. Norli menjamu kami dengan nasi, gulai daging, telor masak dadar dan ulaman. Simple, namun Sedap! Selesai makan-makan, kami singgah ke Cambrige University sebelum ke Stansted Airport untuk pulang ke Malaysia. Sempatlah merakamkan beberapa pose sebagai kenangan buat kami sekeluarga.

Aku berurusan dengan pemilik Teratai Murni di Bedford sejak awal tahun lagi. Tak sempat nak tulis panjang.... just masukkan gambar dulu lah, nanti aku tulis... tulis panjang-panjang
Bergambar kenangan di The Mossman Gallery (Stockwood Discovery Centre di Luton).

Bersama family

Bersama Pn. Rositah (MHH Holiday London) dan Pn. Norli (Teratak Murni Bedford)

Beranika bentuk botol susu baby zaman dulu kala hingga ke tahun 80an

Papan tulis ini digunakan oleh pelajar pelajar sekolah rendah pada awal tahun 50an, itu lah seingat aku yang telah diceritakan oleh ayah.
Anak dara aku sempat berposing di salah satu sudut sebuah sungai di Bedford. Manakala gambar di bawah semasa kami menjamu selera di Teratak Murni. Dalam terkejar-kejar masa, Pn. Norli sempat masak nasi dengan hidangan lauk gulai daging, telur dadar, salad dan lain-lain. Berselera kami makan.


Makan-makan di rumah Dr. Rasol and Pn. Norli

Gambar di bawah ini pula di rakamkan semasa singgah sebentar di Cambrige Universiti on the way to Stanstead Airport. Cukuplah sebagai kenangan biarpun tidak berpeluang belajar di universiti tersebut. Mudah-mudahan ada diantara anak-anak ku dapat belajar di situ. InsyaAllah... manalah tahu... rezeki dia orang suatu masa nanti.

Gambar kenangan keluarga kami dengan Puan Norli. Terima kasih di atas layanan kalian kepada kami dengan kos yang amat berpatutan (kos pengangkutan dari Willsden Green, Luton, Bedford, Cambrige dan Stanstead Airport). Walau hanya 6 jam bersama dengan Dr. Rasol dan Pn. Norli, kemesraan amat terasa, seolah-olah sudah 6 dekad berkenalan dengan mereka berdua. Semoga kami dapat bertemu lagi dengan mereka sekeluarga.